Menu

KPN TINJAU TEKNOLOGI KESELAMATAN DALAM LAWATAN KE SAPURA SECURED TECHNOLOGIES

Kuala Lumpur, 9 Jun 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Sapura Secured Technologies Sdn. Bhd. yang terletak di Menara Permata Sapura, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Lawatan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak industri, khususnya dalam bidang teknologi keselamatan, inovasi digital serta teknologi moden.

Ketibaan Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid telah disambut oleh Presiden Kumpulan Sapura, Tan Sri Dato’ Seri Shahril Shamsuddin sebelum beliau dibawa menghadiri sesi taklimat ringkas berhubung teknologi dan inisiatif keselamatan yang dibangunkan oleh Sapura Group dan Velum Labs.

Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Kanan Korporat Sapura Group, Encik Shakir Badri Serpudin serta Ketua Pegawai Eksekutif Velum Labs, Encik Rizman Merican yang turut berkongsi mengenai pembangunan teknologi berteraskan kecerdasan buatan (AI) serta penyelesaian keselamatan digital bagi mendepani cabaran ancaman semasa.

Sepanjang sesi taklimat tersebut, pihak Sapura Group turut berkongsi peranan syarikat sebagai entiti penyedia penyelesaian teknologi tempatan yang memberi tumpuan kepada pembangunan sistem misi kritikal, keselamatan digital dan teknologi strategik bagi menyokong keperluan operasi organisasi serta keselamatan negara.

Turut hadir ialah barisan Pengarah PDRM, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Mohamad Noor Yusof Ali dan Ketua Penolong Pengarah E1, Cawangan Khas Bukit Aman, DCP Mohd Jeffrei Ahmad.

Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Azri Mohd Sabri dan Lans Koperal Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi.

May be an image of text

May be an image of one or more people, dais and text

May be an image of one or more people and text that says 'DRM'

May be an image of one or more people and dais

May be an image of ‎text that says '‎Kerjasama strategik ke arah Mialaysia yang lebih selamat dan berdaya tahan. 3 ت TEE PDRM RM‎'‎

May be an image of one or more people and text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS