Johor Bahru, 6 Februari 2009 - Pasukan Polis Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditubuhkan pada 1 September 1947, kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Marin sejajar dengan fungsi dan peranan yang diamanahkan bagi memastikan kedaulatan dan keamanan perairan negara terus terjamin.
Pengisytiharan nama Pasukan Gerakan Marin telah disempurnakan oleh Dato' Seri Syed Hamid Tan Sri Syed Jaafar Albar, Menteri Dalam Negeri yang turut disaksikan oleh Inspektor Jeneral Tan Sri Musa Dato' Hj. Hassan Ketua Polis Negara, di Pangkalan Marin Wilayah Selatan, Tampoi, Johor Bahru, Johor.
Menurut Dato' Seri Syed Hamid, pengisytiharan Pasukan Gerakan Marin bertepatan dengan skop penugasan yang semakin meluas dan mencabar dalam menjaga kedaulatan undang-undang di perairan negara.
"Selain bertugas membuat rondaan di perairan, mereka juga bertugas di Pondok Polis yang terdapat di pulau, tasik, persisiran pantai dan sungai-sungai di seluruh negara", kata Dato’ Seri Syed Hamid ketika berucap di majlis yang turut dihadiri Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM dan Ketua Polis Johor.
Pada majlis itu, turut diperkenalkan bendera dan lencana baru Pasukan Gerakan Marin. Bendera lama diturunkan dan dinaikkan pula bendera baru.
Dato' Seri Syed Hamid telah menyematkan lencana baru kpada SAC II Isa Munir Komander Pasukan Gerakan Marin dan seterusnya kepada ACP Zainul Abidin Hassan Ketua Pasukan Gerakan Marin Wilayah Utara, ACP Mohd Salleh Mat Jani Ketua Pasukan Gerakan Marin Wilayah Timur, ACP Abd. Manaf Othman Ketua Pasukan Gerakan Marin Wilayah Sabah, ACP Hj. Taib Sabot Ketua Pasukan Gerakan Marin Wilayah Sarawak dan Supt. Khamsani Abd. Rahman Ketua Pasukan Gerakan Marin Wilayah Selatan.
Ciri-ciri yang terdapat pada lencana baru Pasukan Gerakan Marin yang berlatarbelakangkan warna biru muda membawa maksud kawasan operasi dipersisiran pantai, biru tua ialah operasi merangkumi laut dalam dan sauh pula melambangkan penugasan di perairan seluruh negara.
Warna putih melambangkan keikhlasan dan kesucian dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Tali yang melingkari sauh melambangkan peraturan yang ada dalam pasukan mesti dipatuhi dan kepala harimau di tengah-tengah sauh pula melambangkan Pasukan Polis Diraja Malaysia yang disayangi dan disanjungi.
Manakala keris yang bersilang melambangkan kedaulatan negara menjadi teras perkhidmatan dalam pasukan.
"Dengan nama baru Pasukan Gerakan Marin ini adalah diyakini akan memperkasakan lagi pasukan tersebut dan menjadi sebuah pasukan yang sentiasa sensitif, progresif dan inovatif dalam menyampaikan khidmat bakti kepada masyarakat, selaras dengan konsep kepolisan masyarakat yang diamalkan oleh PDRM", kata Tan Sri Musa Dato' Hj. Hassan ketika menyampaikan ucapan di majlis yang bersejarah itu.

Dato' Seri Syed Hamid Tan Sri Jaafar Albar Menteri Dalam Negeri memeriksa Kawalan Kehormatan

Dato' Seri Syed Hamid menyematkan lencana baru Pasukan Gerakan Marin kepada SAC II Isa Munir Komander Pasukan Gerakan Marin PDRM

Dato' Seri Syed Hamid menunjukkan lencana baru Pasukan Gerakan Marin dengan disaksikan oleh Inspektor Jeneral Tan Sri Musa Dato' Hj. Hassan Ketua Polis Negara dan Dato' Hussin Hj. Ismail Pengarah Jabatan KDN/KA

Bergambar kenangan selepas upacara bersejarah Pengisytiharan Pasukan Gerakan Marin PDRM yang disempurnakan oleh Dato' Seri Syed Hamid Tan Sri Jaafar Albar