Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani

Inspektor Jeneral Tan Sri Acryl Sani bin Hj. Abdullah Sani dilahirkan pada 3 Oktober 1961 di Petaling Jaya, Selangor. Beliau mendapat pendidikan di Universiti Utara Malaysia serta mempunyai kelulusan dalam Sarjana Sains (Pengurusan) dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam. Beliau telah berkhidmat selama 35 tahun di dalam PDRM, bermula pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP).

Sepanjang perkhidmatan beliau, beberapa jawatan penting pernah disandang oleh beliau iaitu Timbalan Ketua Polis Daerah Kampar (2002), Komandan Maktab PDRM (2004), Ketua Polis Negeri Terengganu (2006), Ketua Polis Negeri Perak (2013), Pesuruhjaya Polis Sarawak (2011-2013), Ketua Penolong Pengarah (2005) dan Timbalan Pengarah (2007) di Jabatan Siasatan Jenayah, Timbalan Pengarah di Jabatan Pengurusan (2008), Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (2014-2016), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (2017), Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (2018), Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2018-2020) dan diberi kepercayaan untuk dilantik menjadi Timbalan KPN pada 14 Ogos 2020. Tanggal 3 Mei 2021, Tan Sri Acryl Sani bin Hj. Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang Ke-13 ekoran persaraan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid bin Bador.

Beliau juga telah dikurniakan Pingat Kesatria Mangku Negara (K.M.N.) pada tahun 1995, Pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.) pada tahun 1997, Pingat Panglima Setia Pasukan Polis (P.S.P.P.) tahun 2011, Pingat Darjah Pahlawan Taming Sari (D.P.T.S.) pada tahun 2014, Pingat Panglima Gagah Pasukan Polis (P.G.P.P.) pada tahun 2016, Pingat Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P.) pada tahun 2017, Pingat Panglima Jasa Negara pada tahun 2019 (P.J.N.) dan Pingat Darjah Seri Panglima Taming Sari (S.P.T.S.) pada tahun 2020. Pada 17 Mac 2021, beliau dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N.) dan pada 13 November 2021, beliau juga telah menerima Darjah Kebesaran Panglima Mangku Negara (P.M.N.) yang membawa gelaran 'Tan Sri'.

Tan Sri Acryl Sani bin Hj. Abdullah Sani telah mendirikan rumah tangga dengan YBhg. Puan Sri Ir. Zaitun binti Mohd Isa dan dikurniakan lima orang cahaya mata.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS