Tan Sri Razarudin bin Husain

Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin bin Husain @ Abd Rasid dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor. Tan Sri Razarudin mempunyai kelulusan dalam Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau memilih kerjaya sebagai pegawai polis dengan menjalani latihan kepolisan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada 27 Disember 1982 sebagai Inspektor Percubaan.

Sepanjang perkhidmatan, beliau telah menjawat beberapa jawatan penting dalam Pasukan. Antaranya Ketua Polis Daerah Kudat (2005), Superintendan Cawangan Tempur, Bahagian Operasi Khas (D8), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman (2008), Penolong Pengarah Siasatan Khas (D9) JSJ Bukit Aman (2011), Timbalan Komander Special Task Force On Organise Crime (STFOC) Bukit Aman, Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah) (2013), Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang (2016), Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah (2016), Timbalan Ketua Polis Perak (2018), Ketua Polis Perak (2019) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (2020).

Bertepatan dengan ketokohan beliau yang terserlah, pihak Kerajaan telah memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara pada 26 Disember 2021 dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang Ke-14 pada 23 Jun 2023 selepas Tan Sri Acryl Sani bin Hj. Abdullah Sani menjalani persaraan. 

Sebagai menghargai sumbangan Tan Sri Razarudin kepada Pasukan dan negara, beliau telah dianugerahkan Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K.) pada tahun 2008, Darjah Kebesaran Pingat Panglima Setia Pasukan Polis (P.S.P.P.) pada tahun 2012, Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.) pada tahun 2013, Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N.) pada 2018, Darjah Kebesaran Pahlawan Taming Sari (D.P.T.S.) pada tahun 2020, Darjah Kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K.) pada tahun 2021 dan Darjah Kebesaran Panglima Gagah Pasukan Polis (P.G.P.P.) pada tahun 2021. 

Manakala pada 6 Jun 2022 pula, beliau turut dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran 'Tan Sri', diikuti Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P.) pada 1 Ogos 2022 dan Darjah Kebesaran Seri Panglima Taming Sari (S.P.T.S.) pada 4 November 2022.

Tan Sri Razarudin telah mendirikan rumah tangga dengan YBhg. Puan Sri Zainah binti Othman dan memiliki lima orang cahaya mata sebagai penyeri hidup.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS