Kuala Lumpur: Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi, menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat, Sambutan 200 Tahun Polis Diraja Malaysia di Masjid Bukit Aman. Majlis itu dihadiri Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, YB Dato' Johari Bin Baharom, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Bin Dato' Haji Hassan, Timbalan Ketua Polis Negara, Dato' Mohd Najib Bin Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Janeral Tan Sri Abdul Aziz Zainal Abidin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Bin Dato' Haji Hassan menyerahkan ''Blue Print'' Islam Hadhari Polis Diraja Malaysia Kepada YAB. Dato' Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia dan diperhatikan oleh YB. Dato' Johari Bin Baharom, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur, 15 Mac 2007. Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi, mengingatkan anggota polis supaya menjalankan tugas dengan penuh tawaduk, sejajar dengan prinsip yang digariskan dalam konsep Islam Hadhari. Beliau berkata, tugas memelihara keselamatan negara dan rakyat adalah fardhu kifayah, malah ia satu perkara yang digalakkan Islam.
"Bila memilih kerjaya sebagai polis, itu sudah menjadi fardhu ain, kerana khidmat kita adalah kepada bangsa, agama dan negara. Bila negara aman, ini bukan saja menyumbang kepada pembentukan sebuah negara bertamadun, malah membolehkan pembangunan dilaksanakan tanpa sebarang masalah. Ini akan memberi banyak manfaat kepada rakyat. Justeru, saya minta semua anggota polis supaya teruskan kecemerlangan mereka dalam tugas. Jagalah keselamatan dan keamanan negara ini baik-baik," katanya ketika merasmikan (Blue Print) buku Islam Hadhari Polis Diraja Malaysia.
Katanya, Islam amat menyanjung tinggi setiap pekerjaan yang berkaitan tugas memelihara keselamatan dan keamanan negara. "Ini satu pekerjaan yang dituntut oleh agama dan perkara itu memang tercatat dalam Al-Quran dan Hadis,". Perdana Menteri Malaysia turut menyambut baik usaha menerbitkan buku Islam Hadhari PDRM kerana ia membuka peluang setiap warga polis menghayati konsep Islam Hadhari secara lebih mendalam, seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan seharian, termasuk tugas yang dilaksanakan.
"Islam Hadhari bukan saja dikagumi umat Islam di seluruh dunia, malah semua agama lain. Saya berharap agar konsep Islam Hadhari, yang membawa banyak unsur kebaikan dan kesempurnaan ini dihayati dan diamalkan dalam kehidupan kita semuanya."









