Menu

Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung

Manjung, Perak - 30 Mei 2009. Seluruh warga Polis Diraja Malaysia merasa terharu serta amat berbesar hati dan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas perkenannya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah, Sultan Yang di-Pertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Bainun, serta Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan Raja Jaafar bin Raja Muda Musa dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nor Mahani binti Raja Shahar Shah di atas limpah perkenan Tuanku berangkat mencemar Duli bagi menyempurnakan upacara perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung pada pagi ini.

Hadir dimajlis perasmian ini ialah YB Dato' Wira Abu Seman bin Yusof, Timbalan Menteri Dalam Negeri, YAB Dato' Seri Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak, YB Dato' Kong Cho Hu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YDH Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan, Ketua Polis Negara dan Puan Sri Juriah binti Dato' Ahmad, YDH DCP Dato' Pahlawan Zulkifli bin Abdullah, Ketua Polis Perak dan isteri, YDH CP Dato' Zul Hasnan Najib bin Baharudin, Pengarah JSJ Narkotik dan isteri, YDH CP Dato' Mohamad Fuzi bin Harun, Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter/Terrorism),Orang-orang kenamaan Negeri Perak, Dif-dif jemputanserta Pegawai-pegawai Kanan PDRM.

Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung yang baru ini perlu dijadikan landasan hala tuju dalam memastikan falsafah Tegas, Adil dan Berhemah dapat dipraktikkan dengan jelas dan sempurna. Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung yang serba canggih, moden dan tersergam indah ini pasti menjadi pemangkin dan penggerak warga polis terutamanya di Daerah Manjung untuk berkhidmat dengan penuh profesional, cekap dan berwibawa bagi memberi perkhidmatan berkualiti tinggi danberintegriti kepada masyarakat setempat.

Infrastruktur yang hebat ini seharusnya seiring dengan peningkatan produktiviti dan anjakan paradigma warga Polis dalam menjenamakan perkhidmatan yang lebih cekap dan berhemah, bagi bergerak senada serta seirama dengan tuntutan dan pengharapan masyarakat. Dengan tersergamnya kompleks ini, penduduk tempatan akan dapat bersama-sama bekerjasama dengan pihak polis untuk membanteras jenayah dan menjadikan Daerah Manjung ini sebuah daerah yang 'bebas jenayah' dan masyarakatnya boleh menjalani kehidupan di dalam keadaan yang aman dan sejahtera.

Pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung bermula 20 April 2006 hingga 3 Oktober 2007 dengan kos berjumlah RM 52,981,065.50. Pembinaan Ibu Pejabat ini telah mengalami masalah dalam tempoh asal siap dan dilanjutkan sehingga 3 Oktober 2008 disebabkan masalah ekonomi.

Projek Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung telah diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri pada 21 Julai 2008 dan memulakan operasi pada 1 Ogos 2008. Kompleks ini dilengkapi dengan bangunan ruang pejabat untuk semua jabatan termasuk 26 unit rumah kediaman pegawai dan 133 unit rumah kediaman anggota di samping kemudahan-kemudahan lain seperti Lapang Sasar, Dewan Serbaguna, Tadika, Bangunan PERKEP, Taman permainan kanak-kanak, Surau dan segala kemudahan sukan seperti gelanggang bola tampar dan padang bola.


YDH SAC I Dato' Pahlawan Hadi Ho bin Abdullah, Timbalan Ketua Polis Perak mengiringi YAB Dato' Seri Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak dan isteri di pentas Diraja.


YDH Ketua Polis Negara mengiringi ketibaan Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan Raja Jaafar bin Raja Muda Musa


Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah, Sultan Yang di-Pertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan membalas Tabik Hormat daripada Kawalan Kehormatan


Pemeriksaan baris Kawalan Kehormatan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan


Ucapan aluan oleh YDH Ketua Polis Negara


DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memasukkan kad semasa gimik perasmian


YDH Ketua Polis Negara menyembah cenderahati kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan


Puan Sri Juriah binti Dato' Ahmad menyembahkan cenderahati kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Bainun


DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan menandatangani Buku Melawat di ruang legar IPD Manjung


DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, diberi penerangan berkaitanLaman Web Kontinjen Perak di Balai Polis Seri Manjung


Sesi Bergambar...

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS