Menu

Majlis Perlantikan Pangkat Kehormat Kor SUKSIS Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM)

Bukit Aman - 23 Disember 2008. Majlis Perlantikan Pangkat Kehormat Kor SUKSIS Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) telah disempurnakan oleh YDH Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan, Ketua Polis Negara di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman.

Hadir sama di majlis tersebut ialah YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, YDH Dato'-Dato' Pengarah Jabatan PDRM, Pegawai-pegawai Kanan Polis dan Pegawai-pegawai Kehormat Kor SUKSIS.

Majlis Perlantikan Pangkat Kehormat Kor SUKSIS Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) ini adalah merupakan majlis yang julung-julung kalinya diadakan di antara KPTM bersama dengan pihak PDRM.

Kor SUKSIS adalah nama bagi Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) dan penubuhan Sukarelawan Polis Siswa/Siswi di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ini direalisasikan hasil daripada cetusan idea YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi semasa beliau merasmikan Ekspo Konvokesyen Ke-12 Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah pada 5 Ogos 1999. Selaras dengan itu, Kor SUKSIS telah dilancarkan dengan rasminya oleh YDH Tan Sri Mohd Bakri bin Haji Omar, Ketua Polis Negara ketika itu pada 28 April 2003 bertempat di Universiti Utara Malaysia. 

Fasa pertama struktur organisasi Kor SUKSIS Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah diwujudkan pada 1 Disember 2004. Fasa pertama itu melibatkan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Universiti Malaya (UM). Sehingga kini sebanyak 20 IPTA telah berjaya menubuhkan Kor SUKSIS di seluruh Malaysia. Pada masa ini terdapat seramai 1,400 orang pelatih Kor SUKSIS  yang terdiri daripada 700 orang siswa dan 700 orang siswi. Semenjak Kor SUKSIS diwujudkan, ia berjaya melahirkan seramai 4,200 orang Pegawai Kor SUKSIS.

Tujuan penubuhan Kor SUKSIS adalah untuk menjadikan salah satu instrumen dalam kokurikulum pelajar di IPTA di samping dapat membentuk sahsiah pembangunan mahasiswa/mahasiswi sebagai pelapis pemimpin hadapan yang mempunyai disiplin diri yang tinggi.

Hasilnya, ia dapat mewujudkan semangat patriotik, jati diri dan nilai murni di kalangan anggota Kor SUKSIS. Justeru itu, diharapkan apabila mereka keluar dari IPTA kelak, anggota Kor SUKSIS ini akan berpengetahuan serta mempunyai kefahaman mengenai fungsi dan tugas Polis Diraja Malaysia dalam menguatkuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan negara.

Upacara Pemakaian Lencana Pangkat telah disempurnakan sendiri oleh YDH Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan. Penerima lencana pangkat ialah Asisten Komisioner Kehormat Kor SUKSIS (ACP/KS) Y.Bhg. Dato' Prof Ir. Dr. Radin Umar bin Radin Sohadi, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia Putrajaya  dengan memegang jawatan Komandan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Supt/KS Prof. Dr. Mohd Fauzi bin Haji Ramlan, Pengarah Bahagian Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar, akan menyandang jawatan Timbalan Komandan Kor SUKSIS, DSP/KS Prof. Dr. Rujhan bin Mustafa, Pengarah bahagian Hal Ehwal & Pembangunan Akademik, turut memegang jawatan Ajutan  Kor SUKSIS, ASP/KS Tuan Haji Habib Zam Zam bin Ab. Latif, Pegawai Latihan Akademik Kor SUKSIS dan ASP/KS Encik Ahmad Tamizi bin Muhamud, Pegawai Latihan Luar Kor SUKSIS.

Penerima-penerima pangkat ini tertakluk dengan peraturan dan selaras dengan Waran Perjawatan PDRM Bilangan K 97 Tahun 2004 yang berkuatkuasa pada 1 Disember 2004 dan Arahan Pentadbiran PDRM Bilangan 8/2005 Bertarikh 31 mei 2005. 


Ucapan YDH Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan, Ketua Polis Negara


Antara hadirin yang hadir...


YDH Ketua Polis Negara memakaikan  Lencana Pangkat Asisten Komisioner Kehormat Kor SUKSIS (ACP/KS) kepada Y.Bhg. Dato' Prof Ir. Dr. Radin Umar bin Radin Sohadi, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia Putrajaya  


Supt/KS Prof. Dr. Mohd Fauzi bin Haji Ramlan, Pengarah Bahagian Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar, akan menyandang jawatan Timbalan Komandan Kor SUKSIS, menerima Sijil Perlantikan.


Bersama-sama menyanyi lagu 'Sedia Berkhidmat'


YDH Ketua Polis Negara dan YDH Timbalan Ketua Polis Negara bergambar kenangan dengan Pegawai-pegawai Kehormat Kor SUKSIS.


Penerima-penerima Sijil Perlantikan...dari kiri, ASP/KS Tuan Haji Habib Zam Zam bin Ab. Latif, Supt/KS Prof. Dr. Mohd Fauzi bin Haji Ramlan, Y.Bhg. ACP/KS Dato' Prof Ir. Dr. Radin Umar bin Radin Sohadi, YDH Ketua Polis Negara, DSP/KS Prof. Dr. Rujhan bin Mustafa dan ASP/KS Encik Ahmad Tamizi bin Muhamud
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS