PULAPOL Kuala Lumpur - 22 Oktober 2008. Perbarisan Diraja Dan Perarakan Panji-Panji PDRM Sempena 50 Tahun Anugerah Gelaran Diraja Polis Diraja Malaysia telah berlansung dengan penuh adat istiadat bagi memperingati hari yang penuh bermakna kepada seluruh warga PDRM di Dataran Kawat, PULAPOL Kuala Lumpur.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, telah mencemar duli berangkat ke upacara perbarisan ini. Sesungguhnya keberangkatan Seri Paduka Baginda Tuanku berdua, amat besar ertinya kepada seluruh warga PDRM dan peristiwa ini tentunya akan mengukir satu lagi sejarah kepada PDRM dan negara.
Hadir di upacara ini, YB Dato' Seri Syed Hamid bin Tan Sri Syed Jaafar Albar, Menteri Dalam Negeri dan YBhg. Datin Seri Sharifah Aziah binti Syed Zainal Abidin, YDH Tan Sri Dato' Seri Musa bin Dato' Haji Hassan, Ketua Polis Negara dan Y.Bhg. Puan Sri Datin Seri Juriah binti Dato' Ahmad, YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara dan Puan Sri Hajjah Suriati binti Md. Sobri, Yang Terutama Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta, YDH Pengarah-Pengarah PDRM dan isteri, Dif-dif jemputan serta Pegawai-pegawai Kanan PDRM.
Mengimbau kembali tarikh keramat 24 Julai 1958, di atas Dataran kawat yang sama ini, apabila semangat juang serta pengorbanan pegawai dan anggotanya mendapat penghargaan dengan pengurniaan gelaran 'Diraja' oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhamad. Pengurniaan gelaran 'Diraja' itu menjadikan pasukan polis dikenali dengan nama Polis Diraja Persekutuan Tanah Melayu.
Didalam titah ucapannya Seri Paduka Baginda antara lain menegaskan peranan pasukan polis yang telah menunjukkan 'darjah kecekapan yang tertinggi bagi menentang kekerasan secara berterang-terang', khususnya semasa darurat yang tercetus oleh Parti Komunis Malaya (PKM) sejak tahun 1948.
Baginda seterusnya menegaskan, 'mudah-mudahan dengan izin Allah Subhanahu Wataala, tuan-tuan dan orang-orang yang kemudian dari tuan-tuan kelak sanggup menjunjung gelaran ini dengan megah dan taqwa, dengan hormat dan taat setia'.
Kecemerlangan Pasukan Polis dalam menghadapi pemberontakan bersenjata komunis sejak darurat pada tahun 1948 sehingga 1960 telah tercatat dalam lipatan sejarah negara. Sebagai sebuah pasukan keselamatan yang terbesar ketika itu dengan kekuatan 161,281 anggota, iaitu 31,164 anggota polis tetap, 44,117 Polis Khas (SC) dan 86,000 anggota Polis Tambahan (AP), pasukan polis diberi peranan utama untuk menentang dan menggagalkan percubaan Parti Komunis Malaya untuk menegakkan sebuah negara komunis di Tanah Melayu.
Daripada sejumlah 2,560 orang anggota pasukan keselamatan yang cedera, kemalangan di pihak polis berjumlah 1,601 orang. Catatan sejarah juga membuktikan betapa perjuangan Pasukan Polis telah mengorbankan jiwa dan raga apabila seramai 1,346 anggota polis gugur kerana berkorban mempertahankan negara tercinta. Sementera itu seramai 10,698 orang pengganas komunis berjaya dihapuskan, 5,972 orang daripadanya adalah hasil tindakan pihak polis.
Sesungguhnya pengurniaan gelaran tersebut merupakan tanda penghormatan paling tinggi dikurniakan kepada PDRM sebagai sebuah institusi keselamatan terulung, kira-kira setahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Pengurniaan yang diterima ini amatlah besar maknanya. Ianya bukan sahaja telah mengangkat maruah dan martabat PDRM, malah telah meletakkan pasukan ini setanding dengan kemuliaan anugerah tersebut.
Perbarisan pagi ini terdiri daripada seramai 39 orang pegawai dan 605 anggota didahului dengan perarakan kumpulan Panji-Panji Polis Diraja Malaysia, diikuti kumpulan Kawalan Kehormatan, seramai 105 orang pegawai dan anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan, diketuai oleh Pegawai Pemerintah Baris, DSP Shafie bin Mat Jatim dan Penolong Pegawai Pemerintah Baris, ASP Mohd Raha bin Ab Rauf dan pegawai Panji Utama PDRM, Inspektor Nazrul Azuan bin Nazeri.
'Detachment' Tugas Am diketuai oleh ASP Dougles Nyeging Taong, Pasukan Gerakan Am (PGA) pula diketuai ASP Anizan bin Mohamad, Unit Udara Polis (UUP) diketuai oleh ASP Norizan bin Hamdan, Pasukan Gerakan Khas (Komando 69 dan UTK) diketuai ASP Mohd Hafiz bin Kadir, Pasukan Marin Polis, ASP Nurul Azhar bin Abd Hamid, Pasukan Simpanan Persekutuan diketuai ASP Ishar bin Abd Manaf, Unit Berkuda PDRM, ASP Norazan Shah bin Sharani, Pancaragam Pusat PDRM dengan keanggotaan seramai 100 orang pula diketuai oleh ASP Rahmatullahkhan bin Mohd Hanifah.
Sementara Perbarisan Perarakan Panji-Panji berjalan lalu, 3 buah helikopter PDRM jenis Ecueruil AS 355 N telah melakukan lintas hormat, diketuai oleh DSP Noorsham bin Md. Jani. Seterusnya upacara melafaz Ikrar Rukun Negara dan Ikrar Taat Setia, diikuti 3 kali seruan 'Daulat Tuanku'. Lafaz Ikrar diketuai oleh YDH SAC II Dato' Rosli bin Mohd Nizam, Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am.
Upacara Perbarisan Diraja Dan Perarakan Panji-Panji PDRM Sempena 50 Tahun Anugerah Gelaran Diraja Polis Diraja Malaysia selesai dengan Panji Utama dan Panji-Panji Unit PDRM diarak keluar dari Medan Perbarisan.

Detachment Perbarisan Diraja Dan Perarakan Panji-Panji PDRM Sempena 50 Tahun Anugerah Gelaran Diraja Polis Diraja Malaysia.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi YDH Ketua Polis Negara mencemar duli membuat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan dan Detachment.

Bacaan Doa antara Pegawai-pegawai Kanan PDRM yang turut hadir.

Perarakan perbarisan didahului oleh Panji Utama PDRM dan Panji-Panji Unit.

Segak bergaya...kumpulan Panji-Panji dan Kawalan Kehormatan.

Pasukan Elit PDRM...Komando 69 dan UTK digabungkan dan dikenali kini dengan nama Pasukan Gerakan Khas (PGK) diwujudkan pada 20 Oktober 1997.

Ditubuhkan pada 22 Ogos 1984, Detachment Unit Berkuda PDRM yang terdiri dari 21 orang anggota dan 21 ekor kuda diketuai oleh ASP Norazan Shah bin Sharani .

Lintas Hormat...Helikopter PDRM jenis Ecueruil AS 355 N membawa bendera Sang Saka Biru.

Panji Utama dan Panji-Panji Unit Polis Diraja Malaysia diarak keluar dari Medan Perbarisan.