Menu

Upacara Pelancaran Bot Ronda WaterCat M14, Perisytiharan Unit Gempur Marin (UNGERIN) & Perisytiharan

Kemaman, Terengganu - 24 November 2008. Pada pagi yang bersejarah ini, tiga upacara yang bermakna dan signifikan telah berlangsung di Pangkalan Polis Marin Wilayah Timur, Kemaman, Terengganu. Upacara-upacara ini melambangkan usaha ke arah pembaharuan, pemantapan dan pemodenan organisasi Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia.

Upacara yang disempurnakan oleh YDH DIG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara melibatkan Upacara Perisytiharan Pemakaian Beret Baru Pasukan Polis Marin, Perisytiharan Unit Gempur Marin (UNGERIN) dan Upacara Pelancaran Bot Ronda Kelas PSC ( WaterCat M 14 ).

Hadir sama di upacara tersebut ialah YDH CP Dato' Hussin bin Hj. Ismail, Pengarah Jabatan KDN/KA, YDH DCP Dato' Abdul Rahman bin Hussin, Timbalan Pengarah 1 Jabatan KDN/KA, YDH P/DCP Dato' Robiah binti Abdul Ghani, Ketua Polis Pahang, YDH SAC II Isa bin Munir, Komander Pasukan Polis Marin, YDH Timbalan-Timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai kanan serta anggota PDRM.

Sejak penubuhan Pasukan Polis Marin pada 1 September 1947 hingga kini, Pasukan Polis Marin telah banyak menabur jasa dalam memelihara keselamatan dan mengekalkan keamanan dan ketenteraman sama ada di perairan negara, tugas-tugas bantuan semasa musim banjir dan juga di daratan.

Dari era Kesultanan Melaka hingga ke era penjajahan, kemudiannya ke pasca kemerdekaan dan daripada ekonomi berasaskan pertanian hingga ke era perindustrian, dengan pengalaman sepanjang 201 tahun yang dilalui itu telah membina Polis Diraja Malaysia menjadi agensi penguatkuasaan utama undang-undang negara lebih kukuh dan teguh dalam menghadapi cabaran yang akan datang.

Ke arah menjamin keselamatan negara dalam era dunia yang semakin kompleks ini, Pasukan Polis Marin telah mengambil langkah-langkah proaktif dengan menubuhkan Unit Gempur Marin (UNGERIN). UNGERIN telah ditubuhkan pada tahun 2006 dan sehingga kini, terdapat seramai 52 keanggotaan dari seluruh wilayah marin. Mereka akan didedahkan dengan latihan berterusan bersama unit elit di dalam atau luar negara dan dilatih oleh Komando 69, Pasukan Gerakan Khas, US Navy Seal dan US Coast Guard. Dengan tertubuhnya UNGERIN serta perubahan yang bakal dilaksanakan oleh Pasukan Polis Marin, maka ia dapat memantapkan lagi pasukan ini dengan lebih berintergriti, profesional dan bitara serta bertindak sebagai pasukan pemangkin utama di dalam memastikan perairan negara, kawasan pantai dan juga pulau-pulau selamat serta bebas dari sebarang ancaman maritim.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 212 juta kepada Pasukan Polis Marin untuk mempertingkatkan keupayaan aset-asetnya. Dengan sokongan padu pucuk pimpinan PDRM, Pasukan Polis Marin telah bergerak seiiring dengan kemajuan teknologi industri maritim. Sejumlah 10 buah Bot Ronda Kelas PSC (WaterCat M 14) akan diserahkan secara berperingkat-peringkat kepada Polis Diraja Malaysia. Projek pembinaan dan pembekalan Bot Ronda Kelas PSC (WaterCat M 14) ini adalah pengantian kepada bot-bot ronda kelas yang sama, yang telah lupus dan usang.

Kontrak penjanjian ini melibatkan di antara Kementerian Dalam Negeri dan Geliga Slipway Sendirian Berhad dan bagi penyerahan fasa pertama sebanyak 4 unit Bot Ronda Kelas PSC (WaterCat M 14) telah dilaksanakan pada 30 Oktober 2008. Ianya merupakan penggantian kepada PGR 18 yang berpangkalan di Kuala Terengganu, PSC 35 di Pengkalan Kubur, Kelantan, PSC 17 di Pangkalan Polis Marin Bukit Malut, Langkawi dan PAR 6 di Pangkalan Polis Marin Tampoi, Johor.

Dengan kos RM 4.95 juta sebuah, panjang keseluruhan Bot Ronda WaterCat M 14 ialah 15.4 meter, kelebaran 4 meter, kedalam draf 0.8 meter dan berat kasar ialah 17,000 kilogram. Dengan dilengkapi 2 unit enjin diesel Caterpillar C12 Acert dan setiap satunya berupaya mengeluarkan tenaga sebanyak 525 kw, sistem pendorong kuasa FF410S Kamewa Roll-Royce Waterjet, Bot Ronda WaterCat M 14 ini berupaya mencapai tahap kelajuan maksima 45 knot. Tangki bahan apinya boleh menampung sebanyak 1500 liter minyak diesel dan boleh belayar sejauh 200 batu nautika. Bot ronda ini juga boleh membawa 4 orang krew dan seramai 16 orang penumpang.

Antara intipati ucapan oleh YDH DIG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, beliau berharap pelan pemodenan Pasukan Polis Marin ini akan mampu membawa Pasukan Polis Marin melangkah ke suatu tahap yang lebih cemerlang selari dengan agensi maritim negara-negara yang lebih maju seperti Japan Coast Guard dan Korea Coast Guard.

"Pasukan Polis Marin hendaklah sentiasa dapat memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat maritim sama ada dalam atau luar negara serta terus berkekalan sebagai agensi penguatkuasaan maritim yang terunggul dalam negara kita" kata YDH DIG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, mengakhiri ucapannya.

Acara kemuncak di upacara hari ini ialah pemakaian beret baru marin, berwarna biru muda kepada Komander Pasukan Polis Marin dan juga penyerahan beret baru marin kepada 5 Ketua Polis Marin Wilayah, penyerahan bayonet kepada Ketua Platun UNGERIN, persembahan demonstrasi Botronda Kelas PSC (WaterCat M 14) dan demonstrasi oleh UNGERIN.


Kawalan Kehormatan di ketuai oleh P/ASP Mirkair bin Abdul Rasul...


Tangkas....Unit Gempur Marin (UNGERIN)


YDH DIG Tan Sri Ismail bin Haji Omar memakaikan beret baru marin kepada YDH SAC II Isa bin Munir, Komander Pasukan Polis Marin


YDH DIG Tan Sri Ismail bin Haji Omar mencuba beret baru marin.


C/Insp Hazri bin Zakaria, Ketua Platun Unit Gempur Marin menerima bayonet dari YDH DIG Tan Sri Ismail bin Haji Omar


dari kiri...YDH Supt. Paul Khiu Khoon Chiang (P/KPM Selatan), YDH SAC II Isa bin Munir, Komander Pasukan Polis Marin, YDH CP Dato’ Hussin bin Hj. Ismail, Pengarah Jabatan KDN/KA, YDH DIG Tan Sri Ismail bin Haji Omar, YDH ACP Zainul Abidin bin Hassan (KPM Utara ), YDH ACP taib bin Sabot (KPM Sarawak), YDH ACP Manaf bin Othman (KPM Sabah) dan YDH ACP Mohd Salleh bin Mat Jani (KPM Timur)


Demonstrasi...'Crash Stop' belayar pada tahap kelajuan maksimun 45 knot dan berhenti serta merta dalam tempoh kurang dari 3 saat ataupun jarak 1 bot (15 meter). Pergerakan ini biasanya dilakukan sekiranya terdapat halangan di hadapan bot ronda dan tiada ruangan untuk mengelak.


'Beaching' atau merapat bot ke pantai. Hatch pada troop area dibuka dan pintu ramp diturunkan bagi membolehkan anggota yang berada dalam bot keluar kedaratan.


Pasukan UNGERIN berjaya menumpaskan sekumpulan lanun yang menahan anak kapal nelayan.


YDH DIG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar menyerahkan replika 'wheel bot' WaterCat M 14 kepada YDH CP Dato' Dato’ Hussin bin Hj. Ismail.

YDH CP Dato’ Hussin bin Hj. Ismail menyampaikan cenderahati replika bot WaterCat M 14 kepada YDH DIG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar.


YDH SAC II Isa Munir menyampaikan cenderahati kepada YDH CP Dato’ Hussin bin Hj. Ismail.


YDH DIG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara bergambar kenangan di hadapan Pangkalan Polis Marin Wilayah Timur

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS