Menu

KPN Umum Barisan Ketua Polis Negeri

Bukit Aman, 29 Oktober, 2010- YDH IG Tan Sri Hj Ismail Bin Hj Omar, Ketua Polis Negara mengumumkan barisan Ketua Polis Negeri dalam satu Sidang Media khas yang diadakan di Dewan Theatrette, Bukit Aman pada jam 4.00 petang. Barisan Ketua Polis Negeri ini dibuat melalui satu Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) Ke 76,yang diadakan pada jam 3 petang tadi dan telah dipengerusikan oleh YB Dato' Seri Hishamuddin b Tun Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri.

 

Mesyuarat tersebut merupakan lanjutan daripada keputusan yang telah dilaksanakan mengenai pelantikan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia yang telah diumumkan pada 13 Oktober lalu. Selaras dengan usaha berterusan bagi mengisi, mengesah, menaikkan pangkat, menaikkan gred serta pengstrukturan PDRM, KPN mengumumkan senarai baru Ketua Polis Negeri seperti di bawah:

i. Ketua Polis Selangor
YDH SAC Dato' Tun Hisan Bin Dato' Tun Hamzah
(sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang)

 

ii. Ketua Polis Pahang
YDH SAC Dato' Sharifuddin Bin Abd Ghani
(sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang)

iii. Ketua Polis Kedah
YDH SAC Dato' Ahmad Bin Ibrahim
(sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan)

iv. Ketua Polis Kuala Lumpur
YDH DCP Dato' Pahlawan Zulkifli Bin Abdullah
(sebelum ini memegang jawatan Ketua Polis Perak)

v. Pesuruhjaya Polis Sabah
YDH SAC Dato' Hj. Hamza B Taib
(sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Sarawak)

vi. Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur
YDH SAC Dato' Amar Singh s/o Ishar Singh
(sebelum ini memegang jawatan Komandan Pulapol)

"Saya yakin mereka mampu mengendalikan pasukan polis di peringkat negeri dengan kemampuan dan pengalaman yang mereka miliki. Sehubungan dengan itu juga, saya ingin memaklumkan bahawa jawatan Ketua Polis Negeri serta jawatan-jawatan berkaitan yang masih belum terisi akan dibuat pada pertengahan bulan November apabila SPP dijadualkan bermesyuarat lagi", ucap YDH Ketua Polis Negara yang turut menyatakan pelantikan yang dibuat mengambil kira semua aspek termasuk pengalaman dan kebolehan yang dimiliki.

Beliau turut mengumumkan tiga jabatan di mana jawatan pengarah akan dinaikkan ke gred jusa A, iaitu CP Dato' Akhil Bulat (Pengarah Cawangan Khas), CP Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah) dan CP Dato' Khalid Abu Bakar (Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDN/KA).

Sementara di peringkat negeri pula empat Ketua Polis Negeri akan dinaikkan ke gred jusa B, iaitu DCP Dato' Mohd Mokhtar Shariff (Ketua Polis Johor), DCP Dato' Tun Hisan Dato' Tun Hamzah (Ketua Polis Selangor), DCP Dato' Zulkifli Abdullah (Ketua Polis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan DCP Dato' Wira Ayub Hj Yaakob (Ketua Polis Pulau Pinang). Negeri-negeri berkenaan telah dikenal pasti sebagai negeri-negeri utama yang perlu diberi perhatian memandangkan kesemuanya tersenarai sebagai negeri yang terlibat secara langsung dengan bidang keberhasilan utama negara (NKRA). Status dan gred bagi negeri-negeri lain akan bergantung kepada prestasi dan peningkatan kerja yang akan dipantau dari masa ke semasa.

Bagi jawatan di Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) pula, Ketua Polis Negara telah mengumumkan pegawai-pegawai yang dilantik iaitu:

i.YDH DCP Dato' Ghazali Bin Mohd Amin, (Setiausaha Polis Malaysia)
ii. YDH SAC Ramli Bin Din
iii. YDH ACP Lim Leong Hock

Selain itu, Ketua Polis Negara juga telah mengumumkan pengesahan jawatan yang dipangku oleh seramai 53 orang Pegawai Kanan Polis berpangkat Penguasa Polis (SUPT) sehingga Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP).

"Kesemua keputusan yang dicapai pada hari ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah berterusan yang dilaksanakan di bawah PDRM bagi memantapkan lagi perkhidmatan pasukan di segenap peringkat. Pegawai-pegawai lain yang belum disenaraikan bagi tujuan ini, akan dibawa dan diumumkan pada mesyuarat SPP yang akan datang pada bulan November ini.

"Pengstrukturan yang mantap seperti ini akan dilaksanakan dari masa ke semasa, seiring dengan kemampuan dan kredibiliti pegawai-pegawai PDRM masa kini. Tindakan sebegini adalah penting bagi memastikan kesinambungan era baru ke arah memartabatkan pasukan polis", ucap YDH IG Tan Sri Hj Ismail Bin Hj Omar mengakhiri sidang media.


Bergambar Kenangan di Tingkat 31, Menara 1, Bukit Aman selepas Mesyuarat Suruhanjaya Polis Ke 76


YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara mengumumkan perlantikan Ketua Polis Negeri di Sidang Media Khas selepasMesyuarat Suruhanjaya Polis Ke 76

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS