PENGKALAN KUBOR, TUMPAT KELANTAN - 29 DISEMBER 2010.
Tahukah
anda bahawa laporan polis yang kebiasaannya dibuat di balai atau pondok
polis kini boleh juga dibuat di bot marin dan mana-mana Pangkalan
Pasukan Gerakan Marin (PGM) PDRM. Bercakap pada sidang media di Markas
Operasi Pangkalan Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Pengarah Jabatan
Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), YDH CP Dato'
Khalid bin Abu Bakar menyatakan bahawa kemudahan ini adalah selaras
dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah dan memberi
perkhidmatan serta kemudahan yang terbaik untuk masyarakat.
Beliau
berucap sempena Majlis Pelancaran Pontoon Markas Operasi PGM Pengkalan
Kubor di sini siang tadi. Dato' Khalid turut menyeru supaya PGM lebih
berintegriti dan bersemangat dalam menjalankan tugas dan kerjasama erat
dengan masyarakat setempat pula penting dalam mendapatkan maklumat
jenayah seperti penyeludupan dan sebagainya. Menurutnya lagi aset dan
kemudahan pontoon yang berharga RM1.52 juta itu diharap akan dapat
menyelesaikan masalah kesukaran keluar masuk bot-bot ronda kecil dan
memudahkan kerja penyelenggaraan untuk tugas operasi.
Beliau
juga turut memuji PGM yang begitu komited dan sentiasa bersiap sedia
dalam menjalankan tugas dan juga memberi bantuan kepada lain-lain agensi
kerajaan dalam penguatkuasaan undang-undang maritim. Rondaan serta
kerjasama dengan pasukan marin Royal Thai Police pula
amat digalakkan kerana ia mampu meluaskan lagi proses pertukaran
maklumat berkaitan dengan keselamatan di sempadan perairan dua negara.
Komander
PGM Wilayah Tiga, YDH ACP Mohd Saleh bin Mat Jani dalam ucapannya
berkata, PGM Wilayah Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang)
bertanggungjawab mengawal perairan sejauh 469 km bermula dari Endau
Rompin hingga Pengkalan Kubor. Kekuatan anggota seramai 316 orang dan
memiliki aset sejumlah 27 buah bot ronda pelbagai jenis termasuk jet
ski. Tambah beliau lagi, PGM Wilayah Timur telah berjaya membuat 543
tangkapan dalam pelbagai kes dari Januari hingga November 2010 yang
melibatkan nilai rampasan mencecah RM 2.3 juta.
Turut
hadir dalam majlis tersebut ialah YDH DCP Dato' Salleh bin Mat Rasid,
Timbalan Pengarah PGA/ Pengurusan Sempanan/Kawalan LTAB Jabatan KDNKA,
YDH SAC Dato' Fuad Abu Zarim, Timbalan Pengarah KDNKA (PGK), SAC Dato'
Isa Munir (Komander PGM), DSP Tan Cheng San (Pegawai Pemerintah Markas
Operasi PGM Pengkalan Kubor), Sub Inspector Watcharat (wakil Pasukan
Marin Royal Thai Police) bersama rombongan dan juga tetamu-tetamu jemputan.
Semasa
ditemubual oleh pemberita, Sub-Inspector Watcharat melahirkan rasa
berpuas hati dengan kerjasama yang wujud antara PGM dan Pasukan Marin
Royal Thai Police. Pertemuan setiap bulan antara mereka untuk bertukar
maklumat risikan dan melakukan operasi bersama mampu mencegah jenayah
dan penyeludupan di sempadan kedua negara.

Ketibaan YDH CP Dato' Khalid bin Abu Bakar di Markas Operasi PGM Pengkalan Kubor, Tumpat

YDH CP Dato' Khalid menandatangani Buku Melawat

YDH SAC Dato' Isa Munir, Komander Pasukan Gerakan Marin PDRM

Melihat
hasil kerja L/Kpl Harun bin Endut dan L/Kpl Nik Ahmad Eskandar bin Omar
mencipta replika bot model PA dan PSC di Galeri Marin

YDH Komander PGM menyampaikan cenderahati kepada YDH CP Dato' Khalid bin Abu Bakar

Bersalaman dengan rakan sejawat dari pasukan marin Royal Thai Police

YDH Pengarah Jabatan KDN/KA menaiki bot 'watercat' meninjau kawasan operasi Sungai Golok sambil diiringi oleh pasukan marin Royal Thai Police

Anggota PGM siap sedia menjalankan tugas rondaan walaupun ketika hujan...

Ucapan alu-aluan oleh Komander Pasukan Gerakan Marin Wilayah 3

Ucapan Pelancaran oleh YDH Pengarah Jabatan KDN/KA

Simbolik pelancaran pontoon Markas Operasi PGM Pengkalan Kubor

Pertunjukkan oleh 'team' jet ski PGM

Demonstrasi menyelamat di perairan...

YDH Pengarah Jabatan KDN/KA menyampaikan cenderahati kepada wakil Pengarah JKR

Pontoon yang dibina bermula pada bulan September 2009 dan siap pada bulan Disember 2009 oleh Jabatan Kerja Raya.

L/Kpl Elia menerima Laporan Polis dari pengadu di atas bot KPD Kota Bharu, jenis PX 20

Bergambar kenangan di hadapan Markas Operasi PGM Pengkalan Kubor Wilayah Tiga
Jurufoto : Sjn Zaiddin bin Dahalan
Wartawan : L/Kpl Syamsul Baharin bin Mohamed
Penyunting : Insp Haslina binti Mohd Nor