Shah Alam, Selangor - 26 November 2010
Walaupun sibuk dengan jadual kerja yang ketat, YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara telah meluangkan masa membuat Lawatan Kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada pagi ini. Beliau telah diiringi oleh YDH DIG Datuk Hussin bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara, YDH CP Dato' Khalid bin Abu Bakar, Pengarah Jabatan KDN/KA, YDH CP Dato' Mohammad Fuzi bin Harun, Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas, YDH DCP Dato' Hadi Ho bin Abdullah, Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi) dan YDH SAC Dato' Lim Char Boo, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan 1) JSJK.
Ketibaan Ketua Polis Negara dan rombongannya telah disambut oleh P/DCP Dato' Tun Hisan bin Dato' Tun Hamzah, Ketua Polis Selangor dan Datin Fazimah binti Datuk Haji Ismail, YDH SAC Dato' A. Thaiveegan a/l Arumugam, Timbalan Ketua Polis Selangor dan Datin Khomodi a/p Dhanaraj serta Ketua-ketua Jabatan Kontinjen Selangor.
Satelah selesai menerima Hormat Panglima dari Kawalan Kehormatan yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Baris, DSP Roslan bin Idon dan dibantu oleh Penolong Pegawai Baris, ASP Mohd Firdaus bin Mat Jusoh serta 99 anggota, YDH Ketua Polis Negara telah beredar ke Dewan Mesyuarat Tingkat 8 untuk Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor.
Menjadi tradisi dalam Polis Diraja Malaysia, apabila suatu jawatan dan tugas yang penting beralih tangan, Majlis Serah Terima Tugas akan diadakan. Majlis Serah Terima Tugas jawatan Ketua Polis Selangor, berlangsung di antara YDH P/DCP Dato' Tun Hisan bin Dato' Tun Hamzah, Ketua Polis Selangor dan YDH SAC Dato' A. Thaiveegan a/l Arumugam, Timbalan Ketua Polis Selangor sementara Serah Terima Tugas Pengerusi PERKEP Selangor pula berlangsung diantara Datin Fazimah binti Datuk Haji Ismail dan Datin Khomodi a/p Dhanaraj.
Satelah selesai Majlis Serah Terima Tugas, bertempat di Dewan Anggerik, IPK Selangor, YDH Ketua Polis Negara telah menyampaikan amanat kepada Ketua-ketua Jabatan, Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Balai, pegawai dan anggota, penyelia-penyelia serta kakitangan awam.
Amanat YDH Ketua Polis Negara ini bertepatan dengan perlantikan YDH P/DCP Dato' Tun Hisan bin Dato' Tun Hamzah yang akan menerajui Kontinjen Selangor, mengantikan YDH CP Dato' Khalid bin Abu Bakar yang telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan KDN/KA.
"Tahniah di atas perlantikan YDH Dato' Tun Hisan sebagai Ketua Polis Selangor, perlantikan yang bertepatan dengan masa untuk meneruskan perjuangan PDRM ke arah mengurangkan jenayah dan memastikan kehidupan rakyat berada di tahap yang paling selamat"', ucapan tahniah oleh YDH Ketua Polis Negara kepada YDH Ketua Polis Selangor yang baru.
Dalam Bidang Keberhasilan Keutamaan Negara (NKRA), Negeri Selangor, sebuah negeri yang pesat membangun dan maju, telah dipilih dalam negeri 'Hot Spot' bersama dengan negeri Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
Kontinjen Selangor telah berjaya menurunkan Jenayah Indeks sebanyak 12.33 %, perbandingan sepuluh bulan pertama tahun ini dengan tahun 2009, dan Jenayah Jalanan juga telah menurun sebanyak 39 %.
"Kejayaan menurunkan Jenayah Indeks dan Jenayah Jalanan ini, adalah kerana adanya pemimpin yang terdahulu, berjaya memikul tanggungjawab memimpin Selangor dan berkeupayaan dengan tugas-tugas Polis Diraja Malaysia".
"Kejayaan ini dikecapi kerana turut dibantu oleh pegawai-pegawai bawahan, anggota-anggota dan juga isteri dan keluarga tercinta".
YDH Ketua Polis Negara juga berharap semua Ketua Polis Negeri mengambil kekuatan yang ada di Kontinjen Selangor sebagai model, bagi menjana sebuah negara yang selamat dan aman damai.
"Peranan dan tanggungjawab PDRM semakin kompleks dan mencabar. Masyarakat semakin maju dan rakyat semakin
sofistikated. Oleh itu, PDRM mesti mengikut rentak perubahan di dunia yang sentiasa berubah dan mesti bersikap sedia menghadapi perubahan tersebut", amanat oleh YDH Ketua Polis Negara.
Di kesempatan ini juga, YDH Timbalan Ketua Polis Negara juga turut menyampaikan amanat kepada warga Kontinjen Selangor.
"Bekerjasamalah dalam satu pasukan, satukan setiap lapisan jabatan yang ada dan bekerjalah dengan penuh ikhlas".
"Apabila kita menyentuh hati seseorang dengan keikhlasan, ianya akan dapat menyelesaikan banyak masalah di sekeliling kita", amanat oleh YDH Timbalan Ketua Polis Negara.
Akhir sekali, YDH CP Dato' Khalid bin Abu Bakar juga turut memberi kata-kata semangat kepada warga Kontinjen Selangor.
"Jaga diri sendiri, tutur kata dan penampilan, jaga orang-orang yang kita sayang dan jagalah pasukan kita".

Ketibaan YDH DIG Datuk Hussin bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Kawalan Kehormatan, diketuai oleh Pegawai Pemerintah Baris, DSP Roslan bin Idon

YDH Ketua Polis Negara membalas Hormat Panglima daripada Kawalan Kehormatan

YDH Ketua Polis Negara memeriksa Kawalan Kehormatan.

PERKEP Kontinjen Selangor juga turut hadir...

YDH Ketua Polis Negara menandatangani Buku Melawat

dari kiri...YDH P/DCP Dato' Tun Hisan bin Dato' Tun Hamzah, Ketua Polis Selangor, YDH Ketua Polis Negara dan YDH SAC Dato' A. Thaiveegan a/l Arumugam, Timbalan Ketua Polis Selangor
dari kanan...YDH DIG Datuk Hussin bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara, YDH CP Dato' Khalid bin Abu Bakar, Pengarah Jabatan KDN/KA, YDH CP Dato' Mohammad Fuzi bin Harun, Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas dan YDH DCP Dato' Hadi Ho bin Abdullah, Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi).

P/DCP Dato' Tun Hisan bin Dato' Tun Hamzah, Ketua Polis Selangor menandatangani beberapa dokumen penting dan sijil sebelum Serah Terima Tugas jawatan Ketua Polis Selangor.

YDH SAC Dato' A. Thaiveegan a/l Arumugam menyerahkan 'Tongkat Kuasa' kepada YDH P/DCP Dato' Tun Hisan bin Dato' Tun Hamzah sambil disaksikan oleh YDH Ketua Polis Negara.

Serah Terima Tugas Pengerusi PERKEP Selangor pula berlangsung diantara Datin Khomodi a/p Dhanaraj kepada Datin Fazimah binti Datuk Haji Ismail sambil disaksikan oleh Puan Alina binti Abdullah

Sidang Media sejurus selesai Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor

Amanat YDH Ketua Polis Negara berlangsung di Dewan Anggerik IPK Selangor.

Penuh bersemangat... YDH Ketua Polis Negara menyampaikan amanatnya kepada warga Polis Kontinjen Selangor

YDH Timbalan Ketua Polis Negara juga turut menyampaikan amanat...

P/DCP Dato' Tun Hisan bin Dato' Tun Hamzah, Ketua Polis Selangor menyampaikan cenderahati kepada YDH Ketua Polis Negara

Cenderahati kepada YDH Timbalan Ketua Polis Negara

Sesi Bergambar di perkarangan IPK Selangor.