Menu

Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil

Bukit Aman - 1 Oktober 2010. Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil serta Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi PERKEP Pengurusan dan Pengerusi PERKEP Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah berlangsung di Mess Pegawai Kanan, Bukit Aman pada pagi ini.

Hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Polis Negara, YDH Datuk Hussin bin Haji Ismail dan isteri, Y.Bhg Datin Nur Habibah binti Hatim, YDH Dato'-Dato' Pengarah PDRM dan isteri, YDH Dato'-Dato' Timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan Polis, anggota, ahli-ahli PERKEP serta wakil - wakil media.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh YDH Supt Hj. Ghazali bin Hj. Daud, Bahagian Agama Dan Kaunseling Bukit Aman.

Majlis Serah Terima Tugas Jawatan dimulakan dengan upacara menandatangani dokumen Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan. Upacara disempurnakan oleh YDH Dato' Hj. Abdul Razak bin Hj. Bokhari dan YDH Dato' Mortadza bin Nazarene, Timb. Pengarah Pengurusan (Latihan), disaksikan oleh YDH Datuk Hussin bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara.

Majlis diteruskan dengan upacara menandatangani dokumen Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil oleh YDH Dato' Koh Hong Sun dan YDH Dato' Nooryah binti Anvar, Timb. Pengarah I, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil turut disaksikan oleh YDH Datuk Hussin bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara.

Seterusnya, upacara menandatangani dokumen Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan oleh Datin Aain Zubaidah binti Hj Bahari dan Datin Dr Fatimah binti Moosa dan Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi PERKEP Jabatan Siasatan Jenayah Komersil oleh Datin Cindy Koh dan Datin Mastura binti Hj. Hashim. Kedua-dua upacara tersebut disaksikan oleh Y.Bhg Datin Nur Habibah binti Hatim selaku Naib Pengerusi PERKEP Malaysia.

YDH Datuk Hussin bin Haji Ismail dalam ucapan beliau merakamkan setinggi – tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YDH CP Dato' Hj. Abdul Razak bin Bokhari dan YDH CP Dato' Koh Hong Sun serta YBhg. Datin Aain Zubaidah binti Hj Bahari dan juga YBhg. Datin Cindy Koh di atas segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat di dalam PDRM dan PERKEP selama ini.

YDH Datuk Hussin bin Haji Ismail mewakili seluruh warga PDRM mengucapkan selamat bersara dan semoga sentiasa dilindungi serta dirahmati Tuhan Yang Maha Esa. Jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa dalam ingatan seluruh warga PDRM.
Dalam ucapan YDH Datuk Hussin bin Haji Ismail, beliau turut mengingatkan pasukan supaya menyelami saranan YDH Ketua Polis Negara dengan mengaplikasikan Strategi 4P iaitu, Protective, Performance & Outcome Oriented, Proactive dan People Oriented di mana setiap apa yang dilaksanakan mestilah menjurus kepada Strategi 4P, iaitu menjalankan tugas mengikut peruntukan undang-undang, memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat dan menjaga kesejahteraan dan ketenteraman negara selari dengan visi dan misi pasukan. 

Bagi pihak YDH Ketua Polis Negara, YDH Datuk Hussin bin Haji Ismail turut merakamkan ucapan takziah ke atas keluarga C/Insp. Mohd Khairuzaini bin Mohd. Zain dari Trafik Kuala Lumpur yang maut setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa mengejar mat rempit di Jalan Dato' Senu malam kelmarin. Beliau turut menyatakan kehilangan pegawai tersebut semasa menjalankan tugas adalah satu perkara yang sedih dan sukar diterima. Walau bagaimanapun, komitmen dan dedikasi pegawai ini amat dihargai dan sentiasa diingati. Mudah-mudahan roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat.  

Kemuncak acara majlis adalah sesi bergambar tanda kenang-kenangan sempena peristiwa penting yang akan dicatatkan dalam lipatan sejarah PDRM.


Menandatangani dokumen Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan antara YDH CP Dato’ Hj. Abdul Razak bin Hj. Bokhari dan YDH DCP Dato’ Mortadza bin Nazarene, Timb. Pengarah Pengurusan (Latihan)


Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan antara Datin Aain Zubaidah binti Hj Bahari dan Datin Dr Fatimah binti Moosa.


Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi PERKEP Jabatan Siasatan Jenayah Komersil oleh Datin Cindy Koh dan Datin Mastura binti Hj. Hashimm


Ucapan dan amanat oleh YDH CP Dato’ Hj. Abdul Razak bin Hj. Bokhari, Pengarah Pengurusan PDRM


Ucapan dan amanat oleh YDH CP Dato’ Koh Hong Sun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM


Antara Pegawai-pegawai Kanan PDRM yang hadir....
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS