Menu

Sazali Samad, Wira Bina Badan PDRM, Juara WBPF Men's World Bodybuilding Championship

Sepang - 2 November 2010. Sarjan Sazali  bin Abdul Samad, dari Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia, satu nama yang gah di arena bina badan di Malaysia mahu pun dipersada dunia, sekali lagi mengharumkan nama Malaysia dengan menjuarai Kejohanan WBPF Men's World Bodybuilding Championship yang pernah dimenanginya pada tahun 2009.

Pada tahun ini, Sarjan Sazali mengekalkan lagi kejuaraan tersebut, yang berlangsung di Varanasi City, India yang bermula pada 27 Oktober 2010 hingga 31 Oktober 2010, bagi kategori Light Weight (65-70 kg).

Sarjan/S Sazali bin Abdul Samad dan Kpl Othman bin Yahya yang menduduki tempat ke-5 bagi kategori Middle Weight (80-85kg) telah dipilih oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia untuk mewakili negara, selamat sampai di Kuala Lumpur Internasional Airport (KLIA) pada jam 6.15 pagi tadi dengan penerbangan Jet Airways 9W32.

Ketibaan Sarjan/S Sazali bin Abdul Samad dan Kpl Othman bin Yahya telah disambut oleh YDH DCP Dato' Mortadza bin Nazarene, Pemangku Pengarah Pengurusan, YDH SAC Dato' Yong Lei Choo, Penolong Pengarah Cawangan Khas (Seksyen Penyelidikan dan Keurusetiaan), YDH SAC Dato' Thaiveegan a/l Arumugam, Pemangku Ketua Polis Selangor, DSP Aiyob bin Shaharuddin, Setiausaha Majlis Sukan PDRM, Cif Inspektor Gazali bin Yunus, Pengelola Bina Badan PDRM, Pegawai-pegawai Kanan dan atlet-atlet bina badan PDRM dan keluarga.

Sepanjang melibatkan diri dalam Sukan Bina Badan, Sarjan/S Sazali bin Abdul Samad telah meraih beberapa kejuaraan di dalam beberapa kejohanan, samada di dalam negara maupun diluar negara.

Sazali Samad pernah menjadi juara di Kejohanan Mr. Malaysia pada tahun 1991 sehingga 2000, 2003 dan 2004. Juara Mr. Asean pada tahun 1992, Mr SEA pada tahun 1995, 1999 dan 2000. Dalam acara yang dipertandingkan di SEA Games, Sazali merangkul pingat emas pada tahun 1997 dan 2003, pingat perak tahun 2005 dan gangsa pada tahun 1993.

Di kejohanan Asia Games pada tahun 2006, Sazali berjaya merangkul pingat perak, Mr. Asia  1991( Ke-7), 1992 (Ketiga), 1993 (Kedua), 1994 (Kedua), 1995 (Ketiga), 1996 (Juara), 1997 (Kedua), 1998 (Juara), 1999 (Juara), 2000 (Juara), 2003 (Kedua), 2004 (Juara), 2005 (Kedua) dan 2009 (Juara).

Sazali juga berjaya merangkul pingat emas di World Police & Fire Games pada tahun 1995, 2003, 2005, 2007 dan pingat perak pada tahun 1997. Di Kejohanan Mr. Universe pula, Sazali berjaya merangkul beberapa kejayaan, 1993 (Tempat Ke-13), 1997 (Ke-7), 1998 (Ke-6), 1999 (Ke-4), 2000 (Juara), 2003 (Ke-3), 2004 (Juara), 2005 (Ke-2), 2006 (Juara), 2007 (Juara) dan 2008 (Ke-3).

Di Kejohanan Arnod Amateur Bodybuilding Championship pada tahun 2008, Sazali berjaya menduduki tempat Ke-2, menjadi juara di Kejohanan 3rd Police & Open Qatar Championship pada tahun 2008 dan menduduki tempat ke-6 di 6th Qatar Internasional Golden Cup Bodybuilding Championship pada tahun 2008.

Pada tahun 2009, Sazali berjaya menjadi juara Kejohanan WBPF Men's World Bodybuilding Championship yang berlangsung di Dubai dan berjaya mengekalkan kejuaraan pada tahun ini juga.

Syabas dan sekalung tahniah Sazali dari warga Polis Diraja Malaysia.


Rakan-rakan atlit Bina Badan PDRM setia menunggu kepulangan Sarjan/S Sazali bin Abdul Samad dan Kpl Othman bin Yahya sejak pukul 6 pagi tadi...


Ibu mertua Sazali menyuapkan pulut kuning setibanya di Kuala Lumpur Internasional Airport (KLIA)


Sorakan 'Malaysia Boleh' dan 1Malaysia...


Ucapan tahniah daripada YDH SAC Dato' Yong Lei Choo, YDH SAC Dato' Thaiveegan a/l Arumugam dan YDH DCP Dato' Mortadza bin Nazarene...


Tahniah kepada Kpl Othman bin Yahya...


YDH DCP Dato' Mortadza bin Nazarene dan YDH SAC Dato' Thaiveegan a/l Arumugam melihat piala yang dimenangi oleh Sarjan/S Sazali bin Abdul Samad


Bergambar kenangan bersama rakan-rakan, atlit Bina Badan PDRM


Sazali Samad bersama pingat emas dan piala yang dimenangi di Kejohanan WBPF Men's World Bodybuilding Championship

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS