Menu

Sidang Media oleh YDH Timbalan Ketua Polis Negara

Bukit Aman - 29 September 2010.  Satu Sidang Media telah disampaikan oleh YDH DIG Datuk Hussin bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara  di Menara 1, Bukit Aman pada jam 10.00 pagi hari ini.

Turut hadir di Sidang Media tersebut ialah YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, YDH DCP Dato' Hadi Ho bin Abdullah, Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi) dan YDH DCP Dato' Nooryah binti Anvar, Timbalan Pengarah I, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

Dalam Sidang Media tersebut juga, YDH Datuk Hussin menyentuh 'Ops Sikap XXII Tahun 2010' pada kali ini telah menempa kejayaan dari sudut penurunan kematian kemalangan maut sebanyak 9.5% walaupun kenderaan pada tahun ini bertambah tiga kali ganda mengikut laporan yang dikelurkan oleh PLUS.

Dalam Sidang Media tersebut juga, YDH Datuk Hussin menegaskan pihak polis tidak menerima laporan berhubung kehilangan usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja sebaliknya hanya menerima laporan berkaitan penipuan yang kononnya dilakukan oleh anggota polis  bagi "membebaskan" usahawan dari Chennai itu pada 29 Mac 2010.

YDH DIG Datuk Hussin bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara  menolak dakwaan keluarga mangsa kononnya polis tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat kehilangan usahawan berusia 34 tahun itu sejak awal tahun ini.

"Kita sahkan ada terima laporan pada 29 Mac lepas di Balai Polis Klang oleh abang mangsa, Dr. Kasi Viswanathan, berhubung penipuan yang didakwa dilakukan oleh anggota polis yang meminta sejumlah bayaran bagi membebaskan usahawan India itu. Jadi pada masa itu kita siasat kes tersebut di bawah penipuan"

"Polis kemudian bertindak dan menyiasat kes tersebut sebagai orang hilang apabila satu laporan dibuat oleh isterinya, Usharani pada 8 Sept lepas," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini Rabu.

Beliau berkata walaupun pada awalnya kes itu disiasat bagi kes penipuan, namun pada masa yang sama polis telah berusaha untuk menjejaki usahawan itu.

"Pegawai penyiasat telah pun cuba mengesan Muthuraja, namun tidak berhasil, sehinggalah pada 8 Sept. lepas, apabila satu laporan dibuat tentang kehilangan Muthuraja, barulah kita siasat lebih mendalam lagi dengan kaitannya dengan siasatan kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain," katanya.

Beliau meminta ahli keluarga Muthuraja agar memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan kes itu secara terperinci dan meminta mereka mendapatkan sumber yang sahih untuk mengetahui sebarang perkembangan terkini terhadap siasatan itu.

"Untuk mengelakkan daripada mendapat maklumat daripada individu-individu atau mana-mana pihak yang tiada kaitan dengan kes ini, kita telah melantik pegawai penghubung untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada keluarga mangsa," katanya.

YDH Datuk Hussin berkata ekoran laporan kehilangan usahawan itu, polis telah menahan dua lelaki tempatan secara berasingan iaitu di Taman Wilayah, Selayang dan Kampung Laksamana, Batu Caves sejak 10 hari lepas.

Ketika diminta mengulas tempoh tahanan reman lima suspek kes pembunuhan Sosilawati yang tamat Jumaat ini, YDH Datuk Hussin berkata polis belum membuat sebarang keputusan sama ada menyambung reman atau tidak kelima-lima suspek terbabit.


 Satu Sidang Media oleh YDH DIG Datuk Hussin bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara  di Menara 1, Bukit Aman pada 29 September 2010
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS