Menu

Belangsungkawa : Dato' Zakiah Binti Laidin (1938 - 2011)

11 November 2011 - (Jumaat) jam 8.15 malam

Tarikh kehilangan sebutir permata dan tokoh PDRM yang banyak menabur budi dan jasa sepanjang perkhidmatannya selama 36 tahun.  Allahyarham Dato' Zakiah binti Laidin, meninggal dunia pada usia 73 tahun di kediaman beliau di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

Setelah pemergian, segala jasa dan pengorbanan beliau terhadap pasukan tetap dikenang dan dihayati sebagai satu teladan buat warga PDRM serta polis wanita khususnya.  Mengenang segala jasanya, Allahyarham merupakan seorang pegawai wanita pertama menyandang jawatan tertinggi dalam pasukan polis dengan jawatan Deputi Komisioner Polis pada tahun 1992 dengan jawatan terakhir beliau adalah sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan ((Perkhidmatan/Perjawatan) sebelum bersara pada 1993.

Umumnya bahawa penyerapan Polis Wanita di Malaysia hanya mula pada tahun 1955 setelah melihat kepada keperluan berikutan dengan penglibatan wanita dalam aktiviti subversif Parti Komunis Malaya (PKM) semasa darurat pada tahun 1948.  Sejak tahun 1961 lagi, Allahyarhamah, sebagai Penyelia Polis Wanita, telah memainkan peranan penting dalam membentuk polis wanita.  Sejak itu, peranan tersebut telah menjadi tugas tambahan dan tugas wajib beliau sehingga beliau menamatkan kerjayanya pada tahun 1993.

Seterusnya, beliau turut diberikan kepercayaan untuk menyandang beberapa jawatan penting seperti Pegawai Tadbir Kontinjen, Penguasa Perhubungan Awam, Penolong Pesuruhjaya Polis Cawangan Perkhidmatan Polis dan beberapa jawatan lain. Kredibiliti beliau yang terserlah telah terbukti apabila beliau dipilih  sebagai polis wanita Asia pertama menyertai kursus di Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Virginia, Amerika Syarikat selama tiga bulan pada 1980.

Selain daripada tugas hakiki yang disandangnya, Allahyarhamah juga aktif di dalam Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan telah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung Perkep Pusat sejak tahun 1984 sehingga lah ke tahun 1993.  Beliau telah menjadi penggerak utama PERKEP yang bermatlamat untuk menjaga kebajikan serta perpaduan isteri-isteri dan anggota keluarga pegawai dan anggota polis.

Sebagai penghargaan atas jasa beliau, Allahyarhamah pernah dianugerahkan pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang di-Pertuan Agong pada Jun 1979 dan pada 1992, dianugerahkan pula dengan pingat Darjah Paduka Taming Sari (DPTS) daripada Seri Paduka Baginda Sultan Perak yang membawa gelaran Dato'.

Kehilangannya amat dirasai kerana beliau turut dikenangi di kalangan pegawai dan anggota polis sebagai pemimpin yang lembut pertuturannya. Beliau juga dikenali sebagai seorang pemimpin yang amat prihatin dengan kebajikan pegawai bawahan walaupun tegas dalam urusan kerja. Sifat kasih sayang yang menebal membuatkan setiap yang mengenalinya akan setia bekerja bersamanya.

Pergimu membawa seribu kehilangan namun jasamu tetap utuh dikenang ke akhir hayat!


Allahyarham Dato' Zakiah binti Laidin

Disediakan Oleh : C/Insp Norsuzila Bt Kamaruldin
Gambar : Muzium PDRM

Penyunting : DSP Lai Lee Ching & Insp. Md Aruwan bin Amilah @ Harun

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS