Menu

Peranan Besar Polis Bantuan Kepada Kesejahteraan Negara

"...peranan Polis Bantuan telah membantu meringankan beban tugas Polis Diraja Malaysia, di samping melindungi kepentingan agensi atau majikan dalam menjaga keselamatan nyawa, harta benda dan juga ketenteraman di kawasan masing-masing..." - YDH Timbalan Ketua Polis Negara


Bukit Aman, 15 Mac 2012
 - "Polis Bantuan merupakan unit bantuan atau sokongan kepada PDRM dalam melengkapkan usaha untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara sentiasa terjamin," ujar YDH Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara sempena Perjumpaan Bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kuala Lumpur Dan Selangor di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman, hari ini.


Menurutnya, sebanyak 107 agensi Polis Bantuan telah beroperasi di seluruh tanah air, yang terdiri daripada 24 jabatan kerajaan, 30 Government-linked Corporations, 34 agensi swasta dan 19 badan berkanun dengan jumlah kekuatan di seluruh negara seramai 17, 679 orang.


"Ini adalah sesuatu yang signifikan dalam konteks keanggotaan value added kepada Polis regular dan jika diterjemahkan kepada keanggotaan untuk pencegahan jenayah dalam konteks NKRA, maka ianya akan menjadi lebih relevan dan memanfaatkan masyarakat setempat secara keseluruhannya seterusnya membantu pencapaian objektif program-program NKRA," tambahnya lagi.


Pengiktirafan Kepada Polis Bantuan


Polis Bantuan adalah satu cabang daripada PDRM yang perlu diberi pengiktirafan sewajarnya.


Berasaskan hakikat ini, pada 23 Jun 2009, PDRM telah mengeluarkan surat kelulusan untuk membenarkan semua anggota Polis Bantuan yang telah berkhidmat lebih daripada dua belas (12) tahun dianugerahkan dengan Pingat Kebaktian.


Sehubungan itu beliau menyeru agar sesi-sesi perbincangan di antara agensi Polis Bantuan dan PDRM di kedua-dua negeri diadakan diperingkat working level secara berkala untuk membincangkan masalah-masalah yang berkaitan dengan fungsi masing-masing terutamanya dalam konteks membanteras dan mengurangkan jenayah.


Rangkaian komunikasi di kedua-dua belah pihak hendaklah konsisten dan cekap supaya menjadi lebih responsif kepada kehendak masyarakat.


Kreativiti dan komunikasi yang cekap tentulah akan menghasilkan satu sistem kolaborasi yang berkesan yang memanfaatkan seluruh ahli Polis Bantuan dan PDRM.


"Saya mengambil kesempatan ini untuk ingat memperingati kedua-dua organisasi kita supaya dapat memastikan pegawai dan anggota di bawah jagaan kita menjaga disiplin dan menjalankan tugas berlandaskan undang-undang," tegas beliau.


Penubuhan Polis Bantuan adalah mengikut Bahagian IX (sembilan), Akta Polis No 41/46 dan Peraturan-Peraturan (Polis Bantuan) Polis 1970 (P.U. (a) 461 bertarikh 21 Disember 1970).


Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) A501, yang menjelaskan peranan dan tugas-tugas hakiki Polis Bantuan seperti menjalankan rondaan, bit dan kawalan statik; melakukan tugas kawalan orang ramai, memeriksa orang dan kenderaan; melindungi dan mengiringi harta majikan; mencegah kesalahan-kesalahan jenayah; dan mengesan serta menangkap pesalah-pesalah.


Bidang kuasa ahli-ahli atau anggota polis bantuan dalam melaksanakan tugas-tugas hanya berkuat kuasa dan terhad kepada tanggungjawab melaksanakan tugas di kawasan yang telah ditentukan sahaja.


Hadir sama dalam majlis hari ini, YDH CP Dato' Mortadza bin Nazarene, Pengarah Pengurusan PDRM, Y.Bhg Haji Bakri bin Sanusi, Presiden Persatuan Polis Bantuan Malaysia, YDH DCP Dato' Abdul Samah bin Haji Mat, Timbalan Pengarah (Siasatan/ Perundangan) JSJ merangkap Pengerusi NKRA PDRM, Pegawai-pegawai Kanan PDRM dan tetamu-tetamu jemputan.'


Pendaftaran tetamu di Mes Pegawai Bukit Aman...


Ketibaan YDH DIG Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara.


YDH Timbalan Ketua Polis Negara bersalaman dengan tetamu yang hadir.


Ucapan oleh YDH DCP Dato' Abu Samah bin Mat, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ merangkap Ketua Urus Setia NKRA.


Ucapan YDH DIG Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara.


Sesi soal jawab dari wakil-wakil Polis Bantuan.


Antara tetamu yang hadir...




Wartawan & Jurugambar : Kpl. Muhammad Lokmanul Hakim bin S.Nor
Penyunting : Sjn Zaiddin bin Dahalan

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS