Bukit Aman - 16 Julai 2012
"Sebagai
organisasi penguatkuasaan undang-undang terbesar dalam negara, kita
tidak boleh ketinggalan dalam semua aspek, terutamanya yang berkaitan
dengan kecekapan kita dalam sistem penyampaian perkhidmatan", ujar YDH
Tan Sri Dato' Seri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara.
Aplikasi Command, Control, Communication and Computer Integration System atau C4i telah diperkenalkan dalam PDRM sejak sepuluh tahun lalu, iaitu pada tahun 2002.
Pada tahun 2008, projek C4i ini telah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila memenangi "Prestigious Global Government Technology Award for Wireless Government" bersempena dengan persidangan Future Government Summit 2008 yang diadakan di Bali, Indonesia.
Antara
fungsi-fungsi teras sistem C4i meliputi empat juzuk yang disatukan
bagi mendapatkan jaringan yang tidak bertepi adalah sistem AVLS,
PERS-999, MDCS dan Integrasi Sistem Legasi Pangkalan Data.
AVLS
(Automated Vehicle Location System) merupakan sebuah sistem
pemantauan pergerakan dan pengurusan sumber kenderaan PDRM (MPV).
PERS-999 (Police Emergency Response System) adalah sistem talian
kecemasan bagi panggilan 999 manakala MDCS (Mobile Data Communication
System) adalah merupakan sistem mudah alih yang mengendali
aplikasi pengaksesan pangkalan data. Ketiga-tiga juzuk ini di integrasi
di dalam sebuah sistem dikenali Sistem-Legasi Pangkalan Data atau C4i.
Berucap
di Majlis Menandatangani Mou di antara Pdrm Dan Mimos Berhad,
berlangsung di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman, petang ini, YDH Ketua
Polis Negara menyatakan rasa bangga kerana PDRM telah memeterai MoU
dengan MIMOS, sebuah syarikat yang telah memenangi pelbagai anugerah
inovatif dan rekabentuk di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Kerjasama
pada hari ini adalah terhasil daripada inisiatif Pengarah Jabatan
Logistik serta kecekapan pegawai-pegawai Jabatan Logistik dan MIMOS
dalam menguruskan memorandum persefahaman ini. Pada hari ini kita telah
pun mengorak langkah seterusnya memeterai perjanjian persefahaman
sebentar tadi. Jika ada daya usaha, nyata kita mampu untuk mengurangkan
kerenah birokrasi", tambah YDH Ketua Polis Negara lagi.
Turut
hadir petang ini adalah YDH DIG Tan Sri Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar,
Timbalan Ketua Polis Negara, Y.Bhg Datuk Abdul Wahab bin Abdullah,
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad, Yang Dihormati Datuk
Seri-Datuk Seri dan Dato'-Dato' Pengarah PDRM, YDH CP Dato' Pahlawan
Zulkifli bin Abdullah, Pengarah Jabatan Logistik, Y.Bhg Encik Abdul Aziz
bin Abdul Kadir, Ketua Pegawai Operasi MIMOS Berhad, YDH
Timbalan-timbalan Pengarah, Penolong-penolong Pengarah PDRM, para
Pegawai Kanan PDRM dan MIMOS dan wakil-wakil media.

Ketibaan YDH Tan Sri Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara..

Ketibaan YDH Tan Sri Dato' Seri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara...

Bacaan doa pembukaan majlis...

Pertukaran dokumen MoU di antara PDRM dan MIMOS Berhad..

Ucapan daripada Y.Bhg Datuk Abdul Wahab bin Abdullah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad..

Ucapan daripada YDH Ketua Polis Negara..


Sesi bergambar...


Sesi penyampaian cenderahati daripada kedua-dua pihak..
Wartawan : L/Kpl Edwind Indo
Jurufoto : L/Kpl Irfan Bujang