Menu

PDRM TUBUH BRIGED SABAH TIMUR MANTAPKAN ESSZONE

BUKIT AMAN, 19 Feb - "Bagi memantapkan lagi kawalan keselamatan di kawasan ESSZONE, Briged Sabah Timur akan ditubuhkan di Lahad Datu, Sabah dan di bawahnya terdapat 4 batalion yang akan ditempatkan di Semporna, Kunak, Beluran dan Kudat," ujar Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Timbalan Ketua Polis Negara, hari ini.

Berucap sempena Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman Anjuran Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) di Perkarangan Kompleks 3, Bukit Aman, beliau sebelumnya menjelaskan bermula 20 November tahun lalu, Pasukan Gerakan Am (PGA) telah terlibat dalam 'assign troop' ESSCOM di mana dua kompeni daripada Briged Sarawak dan Briged Semenanjung telah ditugaskan secara berjadual bagi membantu penugasan ESSCOM.

Beliau turut menyentuh berkenaan Op Selamat pada kali ini telah berjaya mencatatkan penurunan sebanyak 1,451 kes berbanding Op Selamat semasa perayaan Tahun Baru Cina tahun yang lalu.

"Peranan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) juga menyumbang kepada kejayaan Op Selamat 4/2014 melalui rondaan dan pemantauan rumah yang ditinggalkan penduduk sepanjang tempoh perayaan," 

"Komposisi rondaan yang digiatkan telah berjaya meningkatkan keyakinan kepada komuniti terhadap keselamatan harta benda yang ditinggalkan," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada semua peringkat pegawai dan anggota supaya mematuhi sepenuhnya arahan penggunaan senjata api sebagaimana yang telah termaktub dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D 222. 

"Begitu juga dengan mematuhi peraturan menjaga keselamatan senjata api dan amunisi menurut PTKPN C 116, di mana peraturan yang telah ditetapkan bahawa setiap pegawai dan anggota PDRM tidak dibenarkan membawa senjata api semasa bertugas atau sebaliknya, tanpa kebenaran bertulis daripada ketua masing-masing," tegas beliau.

Hadir sama sempena perhimpunan hari ini, Dato’ Sri Salleh bin Mat Rasid, Pengarah KDN/KA, Dato’ Sri Mohamad Fuzi bin Harun, Pengarah Jabatan Pengurusan, Dato’ Pahlawan Zulkifli bin Abdullah, Pengarah Jabatan Logistik, Timbalan-timbalan Pengarah serta Pegawai-pegawai Kanan PDRM.



















PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS