BENTONG
8 Mei 2010 - Polis menahan sembilan lelaki yang sedang leka membungkus
cakera video digital (DVD) dalam serbuan di sebuah bangunan tiga tingkat
di Genting Sempah dekat sini, kelmarin. Dalam serbuan itu, polis turut merampas 143,067 keping DVD cetak rompak pelbagai tajuk dianggarkan bernilai kira-kira RM110,000. Timbalan Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Supritendan Koh Ah Tiam
berkata, rampasan DVD itu adalah yang terbesar di Pahang setakat ini. Beliau berkata, serbuan
tersebut dilakukan oleh 20 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan
Jenayah Komersial Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong. Katanya, hasil siasatan
mendapati, bangunan tiga tingkat itu dijadikan tempat menyimpan,
membungkus dan pusat edaran DVD cetak rompak sejak tiga minggu lalu. Tambahnya, tiada sebarang peralatan mencetak atau senjata ditemui dalam serbuan tersebut. "Hasil pemeriksaan polis
juga mendapati, bangunan kediaman itu dijadikan transit menyimpan DVD
sebelum diedarkan ke Selangor, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar,"
katanya di sini semalam. Menurut Ah Tiam lagi,
ketiga-tiga lelaki itu berusia antara 19 hingga 36 tahun kini ditahan
reman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut
Seksyen 6(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman
denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau
kedua-duanya sekali, katanya. |