| KULIM,
Kedah 5 Oktober 2009 (Utusan Malaysia) - Polis menembak mati empat
penjenayah yang paling dikehendaki kerana terbabit dalam
sekurang-kurangnya 41 kes samun bersenjata di sekitar Kedah dan Perlis
di kawasan tangki air Bukit Kukus, di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira
pukul 10.30 pagi itu, kesemua suspek yang merupakan warga tempatan
berusia antara 20 dan 29 tahun mati di kawasan persembunyian selepas
berbalas tembakan. Suspek yang terbunuh ialah
Jayasilan Murugan, 29, dari Kampung Lengkuas, Pokok Sena; Ramesh Raman,
20, Taman Intan Sungai Petani; Sundrakanapahti Subramaniam, 26, Batu
Caves, Selangor dan Suresh Sinasamypillay, 27 dari Kampung Lengkuas,
Pokok Sena. Dua daripada lelaki tersebut iaitu Ramesh dan
Sundrakanapahti merupakan bekas banduan yang baru dibebaskan dari
Penjara Sungai Petani dan Penjara Pokok Sena pada Februari dan April
lalu. Sementara Jayasilan pula dibebaskan dari Penjara Pokok Sena pada
20 Ogos 2007 berhubung kes samun bersenjata. Polis turut merampas sepucuk
pistol jenis auto, Browning 9 milimeter (mm) bersama tujuh butir peluru
hidup dan tiga bilah parang panjang serta dua pisau. Polis juga
merampas sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna hitam. Ketua Polis Kedah, DCP Dato'
Syed Ismail bin Syed Azizan berkata, kejayaan itu diperoleh kira-kira
pukul 9 pagi setelah polis menerima maklumat awam berhubung kehadiran
empat lelaki di dalam kereta Proton Waja tersebut dalam keadaan
mencurigakan. Katanya, sepasukan polis
yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Kulim, Asisten Supritendan M. Saravanan kemudiannya
bergegas ke tempat tersebut namun mendapati suspek telah beredar. ''Tidak lama selepas itu,
polis berjaya mengesan keempat-empat suspek berkeliaran di kawasan
perumahan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dipercayai sedang
merancang untuk melakukan rompakan,'' katanya pada sidang akhbar di sini
hari ini. Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten
Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad dan Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan
Ghuzlan Salleh. Dato' Syed Ismail
memberitahu, selepas menyedari kehadiran sepasukan polis, kumpulan
suspek itu bertindak memecut kenderaan mereka ke arah Jalan Paya Besar. ''Suspek terus melarikan
diri ke tempat persembunyian mereka di Bukit Kukus. Pada masa sama,
anggota kita berjaya mengejar mereka," katanya. Beliau berkata, sebaik tiba
di penghujung jalan berdekatan tangki air, kesemua suspek telah diminta
menyerahkan diri tetapi salah seorang daripada suspek melepaskan
beberapa das tembakan. Katanya, tiga lagi lelaki yang masing-masing
bersenjatakan parang turut menyerang anggota polis. ''Polis terpaksa membalas tembakan untuk mempertahankan diri,'' katanya. Pemeriksaan lanjut di tempat
kejadian menemui sepucuk pistol berisi lima butir peluru hidup dan dua
lagi di dalam kenderaan, dipercayai untuk kegunaan rompakan. Siasatan
menunjukkan kumpulan terbabit bergiat aktif melakukan rompakan
bersenjata dengan menjadikan sasaran utama mereka iaitu kedai emas,
kilang dan rumah di sekitar Kedah khususnya Kulim, Pulau Pinang dan
Perlis. ''Kesemua suspek dikesan mempunyai rekod jenayah berhubung kes ugutan jenayah, rompakan bersenjata dan ragut," katanya. Tambahnya, salah seorang suspek juga dipercayai terlibat dalam kegiatan merompak kedai emas di Arau, Perlis, baru-baru ini. Dalam pada itu, Syed Ismail
berkata, semakan lanjut mendapati kenderaan yang digunakan suspek disewa
dari seorang lelaki di Mergong, Alor Setar, pada 2 Oktober lalu. ''Suspek kemudian
menggunakan nombor pendaftaran palsu KBA18 untuk menjalankan kegiatan
samun termasuk yang terbaru di Bedong, Sungai Petani, semalam," katanya. Ditanya tentang kemungkinan
terdapat lagi saki baki anggota kumpulan itu, Syed Ismail berkata,
pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan. Beliau berkata, mayat kesemua suspek dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk dibedah siasat. Kes tersebut disiasat di
bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh dan Seksyen 8 Akta
Senjata Api 1967 (Penalti Lebih Berat). |