| SHAH
ALAM, 21 Jun 2010 -- Satu sindiket penculikan yang didalangi warga
Nigeria yang dipercayai terbabit dalam kes penculikan seorang anak ahli
politik di negara berkenaan ditumpaskan semalam.
Ia
berikutan penahanan empat lelaki rakyat Nigeria, seorang wanita
Indonesia dan seorang wanita tempatan di sebuah rumah teres dua tingkat
di Cheras, ibu negara semalam.
Mereka
kini ditahan reman sehingga Ahad ini untuk disiasat mengikut Seksyen 3
Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau
penjara seumur hidup.
Mangsa
penculikan mereka ialah seorang penuntut lelaki berusia 28 tahun dari
sebuah universiti swasta di Cyberjaya, yang telah diculik di kawasan
kampus berkenaan kira-kira 8.30 malam pada 23 Mei lalu.
Mangsa kemudiannya dikurung di rumah di Cheras itu.
Pemangku
Ketua Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mammah berkata penculik
ditahan kira-kira 3.45 petang, beberapa jam selepas mangsa dibebaskan
oleh para penculiknya.
Beliau
berkata penculik sebelum itu telah menghubungi keluarga penuntut
berkenaan di Nigeria bagi menuntut wang tebusan sebanyak USD10,000
(kira-kira RM31,900).
"Keluarga
mangsa kemudian telah menghubungi adik mangsa yang juga penuntut di
universiti yang sama yang kemudiannya telah membuat laporan polis
berhubung penculikan abangnya.
"Namun
sejumlah RM30,000 telah dimasukkan oleh keluarga mangsa ke dalam akaun
milik mangsa di Malaysia yang diikuti dengan pembebasan mangsa pada 20
Jun (semalam) di kawasan Cyberjaya kira-kira 1.30 pagi.
"Mangsa
mengalami sedikit kecederaan dan dirawat di Hospital Serdang," kata
Omar apabila ditanya sama ada mangsa telah dicederakan.
Beliau
berkata ekoran pembebasan mangsa, polis telah menyerbu rumah tersebut
dan menahan kesemua penculik yang berumur dalam lingkungan 20 dan 30-an.
Turut
dirampas daripada para penculik ialah tiga buah komputer riba, 15 buah
telefon bimbit dan 11 keping pasport antarabangsa pelbagai negara.
Sebuah
daripada telefon bimbit yang dirampas dipercayai telah digunakan untuk
menghubungi keluarga mangsa termasuk menghantar khidmat pesanan ringkas
(SMS) yang boleh dijadikan bukti.
Omar berkata turut disiasat ialah kes pemalsuan pasport oleh warga Nigeria terbabit.
"Siasatan
turut mendapati anggota sindiket ini mungkin turut terlibat dalam
beberapa siri kes penculikan lain berikutan pengakuan seorang lagi
mangsa iaitu seorang penuntut wanita Nigeria yang dikatakan telah
diculik dan kemudiannya dibebaskan," kata beliau.
Mangsa
kedua ini juga merupakan penuntut di universiti yang sama yang
dikatakan telah diculik pada 18 Feb lepas dan kemudian dibebaskan pada
24 Feb.
Para
penculik telah menuntut USD15,000 (kira-kira RM45,000) daripada keluarga
mangsa di Nigeria bagi pembebasannya yang mana wang sebanyak RM10,000
telah dibayar melalui akaun bank penuntut berkenaan.
Omar merayu jika terdapat mangsa lain yang sebelum ini tidak membuat laporan polis supaya tampil bagi membantu siasatan.
"Kami juga percaya ada kes-kes sama dilaporkan di negeri lain yang melibatkan suspek yang sama," katanya. |