| NIBONG
TEBAL 18 Mei 2010 - Polis membongkar sindiket pengedaran dadah terbesar
di daerah ini selepas menyerbu sebuah rumah teres yang dijadikan makmal
memproses dadah jenis heroin di Taman Tambun Emas, Simpang Ampat di
sini baru-baru ini. Dalam serbuan kira-kira
pukul 12.10 tengah malam Sabtu lalu, polis turut merampas sejumlah
heroin yang dianggarkan bernilai RM150,000 selain menahan dua lelaki
berusia 23 dan 27 tahun. Ketua Polis Daerah Seberang
Perai Selatan, Superintenden Shafien Mamat berkata, pihaknya mendapat
maklumat mengenai sebuah kereta Proton Wira yang dipercayai terlibat
dalam kegiatan pengedaran dadah. Berdasarkan maklumat itu,
katanya, polis kemudian mengekori kenderaan terbabit sebelum bertindak
menyerbu rumah teres berkenaan yang disewa sejak beberapa bulan lalu. "Polis menggeledah rumah itu dan menemui beberapa peket plastik berisi ketulan dadah dipercayai heroin dalam sebuah bilik. "Kesemua dadah itu
dianggarkan seberat 3.2 kilogram dan harga pasarannya ketika ini
kira-kira RM150,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Menurut Shafien, rumah
terbabit dipercayai disewa untuk dijadikan pusat pembungkusan oleh
kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Tambahnya, kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah malah ujian air kencing yang dilakukan mendapati mereka negatif dadah. Polis, katanya, percaya
dadah terbabit untuk diedarkan di pasaran tempatan oleh kedua- dua
suspek yang yang berasal dari Jitra, Kedah dan Pulau Pinang. Mereka kini direman sehingga 21 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. |