MALEK NOOR SUMBER INSPIRASI SAYA – SAZALI
Siapa
sangka, atas dasar kecintaannya yang menebal dalam sukan bina badan,
Sub Inspektor Sazali Samad atau lebih dikenali dengan jolokan Orang Besi
PDRM pada zaman mudanya pernah mencari besi buruk dan
dihantar ke bengkel kereta untuk dipateri seterusnya dijadikan
'dumbell' sebagai alat senamannya, memandangkan kesukaran untuk mencari
gimnasium pada ketika itu.
Segalanya
bermula dengan keratan akhbar kejayaan atlit bina badan tersohor pada
ketika itu, Malek Noor yang disimpannya dan dijadikan motivasi kepadanya
untuk membawa impiannya ke peringkat lebih tinggi.
Semasa
bekerja di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kuala Lumpur pada tahun
1987, beliau telah mendaftar di Pusat Latihan Bina Badan, Bukit Aman.
Bermula di situlah, bakatnya mula dikesan oleh Allahyarham Deputi
Superintendan Polis (DSP) Roslan Ahmad, pengelola bina badan PDRM pada
ketika itu.
Didikan
Allahyarham DSP Roslan Ahmad ternyata meluahkan hasil apabila Sazali
memenangi gelaran Mr. Kuala Lumpur dalam kategori Bantamweight (65 kg)
seterusnya gelaran Mr. Malaysia pada 1991 yang melayakkannya mewakili
negara ke Pertandingan Bina Badan Amatur Asia di Korea Selatan.
Lebih
manis, kejayaan tersebut membuka sinar baru buat Sazali apabila PDRM
menawarkannya untuk menjadi seorang anggota polis dan atlet bina badan
pasukan beruniform.
Ternyata
peluang itu tidak disia-siakan Sazali yang terus gigih menjalani
latihan untuk bergelar atlet bina badan yang tersohor di seluruh dunia.
Menyentuh
kembali kepada rentetan kejayannya, Sazali yang telah 21 tahun
berkecimpung dalam sukan bina badan mencipta sejarah tersendiri apabila
muncul satu-satunya atlet dari Malaysia yang pernah merangkul gelaran
Mr. Universe sebanyak empat kali. Kejayaan itu dilakar pada Kejohanan
Bina Badan Dunia 2000 di Melaka, 2004 (Rusia), 2006 (Republik Czech) dan
2007 (Korea Selatan).
Beliau
juga berjaya meraih gelaran Mr. Asia sebanyak lapan kali dan lebih
membanggakan kejayaannya itu berjaya memadamkan rekod lama yang dipegang
Malek Nor yang merekodkan gelaran Mr. Asia sebanyak enam kali.
Anggota
polis kelahiran Batu Pahat ini juga sering dinobatkan pelbagai anugerah
lantaran kejayaannya dan yang terbaru, beliau telah merangkul gelaran
Olahragawan Negara 2013 serta Anugerah Malaysia Book Of Records 2014;
‘Outstanding Individual Award Category’. |