| Tumpat,
Kelantan - 27 Disember 2009. Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan
Kubor, dekat sini, merampas pelbagai barangan termasuk minyak petrol dan
kain tudung melalui pangkalan haram di sekitar Sungai Golok bernilai
RM50,618.
Kejayaan
itu hasil daripada ‘Operasi Risikan’ yang dilancarkan pasukan terbabit
dalam tempoh tiga hari bermula 24 Disember lalu, sekali gus membanteras
aktiviti penyeludupan di sempadan, terutama membabitkan pangkalan haram.
Operasi
diketuai Pegawai Gerakan (Risikan/Operasi) PGM Pengkalan Kubor,
Inspektor Mohd Hamdan Mustafa bersama lima pegawai dijalankan secara
bergilir-gilir, termasuk di kawasan yang dikenal pasti.
Difahamkan,
musim tengkujuh yang melanda negeri itu turut merancakkan pergerakan
sindiket kerana mudah membawa masuk pelbagai barangan dari negara jiran
ke lokasi negeri ini. Selain itu, harga minyak
petrol yang murah di negara ini berikutan mendapat subsidi dan dijual
RM1.80 sen seliter berbanding negara jiran RM4 menyebabkan sumber
terbabit menjadi mangsa penyeludupan. Pegawai Pemerintah PGM
Pengkalan Kubor, Deputi Superintendan Tan Cheng San, berkata operasi
khas terbabit dijalankan bagi membanteras penyeludupan barangan pada
penghujung tahun.
“Operasi
ini dijalankan pada penghujung tahun. Kita yakin aktiviti terbabit
(penyeludupan) semakin rancak ketika ini berikutan musim banjir sekitar
Sungai Golok.
“Tumpuan
diberi kepada kawasan dikenal pasti, termasuk pangkalan haram Sungai
Mentuan dan Pak Soh, Kampung Tualang serta menggerakkan anggota
beroperasi bergilir-gilir,” katanya di Markas Operasi PGM Wilayah 3, di
sini, semalam.
Menurutnya,
sepanjang tiga hari beroperasi itu, didapati kumpulan penyeludup
menggunakan laluan sungai terbabit untuk menyeludup kain tudung dan
minyak diesel menggunakan enjin bot galah.
“Berdasarkan
operasi dibuat, kami berjaya melakukan rampasan pertama pada 24
Disember kira-kira jam 10.30 malam, membabitkan penyeludupan 10 tong
minyak petrol berjumlah RM2,040.
“Setiap
tong mengandungi 30 liter dan menunggu masa untuk dibawa ke negara
jiran. Pada hari berikutnya, kami merampas tujuh tong lagi berjumlah
RM378,” katanya.
Tan
berkata, pihaknya juga percaya peniaga tudung mengambil kesempatan
mengelak membayar cukai berjumlah 50 sen sehelai dengan menggunakan
khidmat sindiket penyeludupan kerana kosnya didakwa masih murah dan
mampu mencatat keuntungan besar.
Katanya,
tindakan mereka berjaya dihalang apabila pelbagai jenis tudung bernilai
RM37,200 dirampas pada hari ketiga operasi yang dijalankan malam
semalam, di Pengkalan Haram Pak Soh, Kampung Tualang. |