Menu

Peragut ditahan

KUALA LUMPUR 4 Mei 2010 - Setelah kira-kira lima bulan diburu, seorang peragut yang bertanggungjawab mengakibatkan kematian seorang lelaki manakala isterinya parah akibat diragut di Taman Maluri, akhirnya diberkas polis, 25 April lalu.

Suspek berusia 22 tahun itu dan tidak bekerja diberkas di sebuah restoran di Bandar Tun Razak, Cheras di sini hasil maklumat awam dan risikan.

Lebih mengejutkan, hasil soal-siasat suspek mengakui telah melakukan lebih 300 jenayah ragut di sekitar daerah Cheras sejak awal tahun ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, dengan penahanan suspek itu, polis percaya menyelesaikan 60 kes ragut dalam tempoh sama.

Katanya, ujian air kencing mendapati suspek yang pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969 itu negatif dadah.

Katanya lagi, suspek direman sehingga 8 Mei ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Siasatan mendapati suspek terbabit melakukan jenayah tersebut bersama seorang lagi rakannya berusia 20 tahun yang berasal dari Selayang.

"Polis masih memburu rakan suspek yang dipercayai berada di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini hari ini.

Abdul Rahim memberitahu, modus operandi digunakan oleh kedua-dua suspek tersebut adalah dengan mensasarkan wanita yang memakai barang kemas seperti rantai atau beg tangan.

"Jenayah tersebut dilakukan tanpa menggunakan sebarang senjata. Ia dilakukan secara pantas oleh pembonceng motosikal," ujar beliau.

Dalam kejadian pada 7 Disember lalu, mangsa, Abdul Rahman Mohd. Kaladin, 34, yang menaiki sebuah motosikal maut manakala isterinya, 34, pula cedera parah selepas diragut dua lelaki.

Kedua-dua suspek yang menaiki motosikal Yamaha 125Z sebelum itu telah menghimpit kenderaan mangsa sebelum melakukan jenayah tersebut.

Namun malangnya, motosikal pasangan itu tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh pagar simen sebuah rumah dan tercampak ke tepi jalan.

Penjenayah terbabit dikatakan sempat melarikan seutas rantai leher milik isteri mangsa.

Sementara itu, isteri mangsa ragut dalam kejadian tersebut melahirkan ucapan terima kasih kepada pihak polis memberkas suspek yang mengakibatkan kematian suaminya.

Beliau yang hanya ingin dikenali sebagai Noriah berkata, dia amat menghargai kecekapan polis itu meskipun terpaksa mengambil sedikit masa.

"Sehingga hari ini, kedua-dua kaki saya masih bersimen. Ia menyukarkan saya menjaga anak tunggal yang baru berusia setahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pengalaman menjadi mangsa ragut benar-benar meninggalkan kesan terhadap diri dan keluarganya serta amat perit untuk diingati.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS