| JOHOR
BAHRU 23 Mei 2010 - Kecekapan polis berjaya menyelamatkan lapan wanita
warga Kemboja dan Indonesia daripada menjadi mangsa sindiket
pemerdagangan manusia dengan penahanan dua lelaki malam tadi. Kejayaan itu diperoleh pada
pukul 8.30 malam, hasil serbuan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi
Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan kontinjen Johor di dua buah
pusat urut di Jalan Pingai, Taman Pelangi di sini. Ketua Operasi, Asisten
Superintenden Nordin Ibrahim berkata, kesemua wanita berusia 20-an
terdiri daripada tujuh wanita warga Kemboja dan seorang rakyat
Indonesia. Beliau berkata, selain itu,
pihaknya turut menahan lima wanita warga Thailand dan dua wanita China
berusia 21 hingga 42 tahun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta
Imigresen 1953/1967. "Dua lelaki yang ditahan itu
berusia 28 dan 58 tahun. Siasatan mendapati, premis tersebut
menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan menawarkan khidmat 'tambahan'
kepada pelanggan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini
malam tadi. Nordin berkata, siasatan mendapati premis tersebut telah beroperasi sejak lima bulan lalu. Katanya, kedua-dua lelaki
tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti
Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15
tahun. Beliau berkata, kedua-duanya
turut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1953/1967 kerana
mengambil pekerja asing tanpa permit sah dan Seksyen 55E akta sama
kerana memberikan perlindungan kepada warga asing. |