| KUALA
LUMPUR, 28 Julai (Bernama) - Polis menahan empat lelaki termasuk
seorang warga Thailand yang aktif dalam kegiatan curi kenderaan di
sekitar Lembah Klang, di kawasan letak kereta sebuah kondominium mewah
di Jalan Kuchai Lama, di sini Jumaat lepas.
Turut
ditemui polis ketika membuat tangkapan kira-kira 4 petang itu adalah
pelbagai jenis dadah bernilai RM187,000 daripada empat suspek itu dan
juga dalam kenderaan mewah yang dinaiki suspek.
Antara
yang ditemui hasil pemeriksaan polis terhadap suspek ialah 162 gram
dadah jenis syabu, 10 biji pil eramin 5, sejumlah 518 gram pil ecstacy
dan empat bungkusan plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ketamine
berjumlah 3,970 gram. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu
Osman berkata siasatan awal mendapati empat lelaki yang berusia antara
27 dan 44 tahun itu bergiat dalam kegiatan curi kereta dan mengedar
dadah di sekitar Lembah Klang sejak empat bulan lepas.
"Kesemua
mereka positif dadah dan tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah,"
katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini Selasa.
Susulan
daripada tangkapan itu, polis menyerbu ke sebuah unit kondominium yang
dipercayai tempat tinggal lelaki-lelaki berkenaan dan menemui sepucuk
pistol semi auto jenis P.Beretta dan satu kelopak magazine mengandung
enam butir peluru, katanya. Muhammad Sabtu berkata kesemua suspek kini
ditahan reman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini dibawah Seksyen 117
Kanun Acara Jenayah untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah
Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika disabit
kesalahan.
"Polis
masih meneruskan siasatan bagi mengenalpasti individu lain yang
terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah itu dan punca bekalan dadah
diperolehi," katanya.
Sementara
itu, Muhammad Sabtu berkata polis menemui semula sebuah kereta jenis
BMW5 Series yang dilarikan dua suspek dalam kejadian samun Selasa lepas
setelah kenderaan itu ditinggalkan di stesen LRT Bukit Jalil.
Bagaimanapun, beberapa barang lain sempat dilarikan antaranya wang tunai
RM8,000, telefon bimbit, kad ATM RHB Bank dan cek Alliance Bank.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya. |