23 lelaki ditahan leka berjudi di jirat Cina
BUKIT MERTAJAM, 18 Dis (Bernama)
Seramai 23 lelaki, termasuk warga
emas, ditahan ketika sedang leka berjudi di jirat Cina di Kampung Baru
di sini petang Jumaat.
Jurucakap polis berkata jirat Cina itu dijadikan mini kasino yang
menjadi tumpuan kaki judi pada setiap malam, namun operasi itu tidak
dapat diteruskan lagi kerana berjaya dihidu oleh polis hasil maklumat
orang ramai dan intipan sejak seminggu lepas.
Katanya sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan
Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menyerbu tempat
berkenaan kira-kira 6 petang Jumaat.
"Kesemua mereka berusia antara 34 tahun dan 70 tahun, ditahan ketika
sedang leka berjudi," katanya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai RM900 di
atas meja judi, sebiji mangkuk, tiga biji dadu, 78 keping cip judi, tiga
buah meja panjang dan 20 buah kerusi.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua lelaki yang ditahan itu, polis
berjaya merampas RM39,771 wang tunai yang dipercayai digunakan untuk
berjudi," katanya.
Kesemua yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan menurut
Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan,
mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan
atau kedua-duanya sekali.
|