Ejen Judi Haram Libatkan Pertaruhan RM96 Juta Di Johor Tumpa
KULAIJAYA, 12 Dis (Bernama) --
Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman pada Sabtu
berjaya menumpaskan ejen judi haram melibatkan pertaruhan bernilai RM96
juta sejak beroperasi di sini setahun lalu.
Dalam
serbuan yang dilakukan serentak pada 6.45 petang, seorang lelaki dan
dua wanita ditahan di sebuah rumah di Taman Sungai Emas, manakala tiga
lagi termasuk dua wanita diberkas di sebuah rumah di Taman Inderapura di
sini berkaitan aktiviti yang dipercayai turut didalangi warga Singapura
itu.
Mereka yang berusia antara 17 hingga 49 tahun dan dipercayai pekerja sindiket, ditahan bagi membantu siasatan polis.
"Dua
rumah tersebut dijadikan pusat penjumlahan judi bagi pertaruhan loteri
awam secara haram di Johor dan Singapura, yang membabitkan wang
pertaruhan bernilai RM8 juta sebulan, yang bersamaan RM96 juta setahun.
"Sekali
pertaruhan boleh membabitkan sehingga RM400,000 daripada pelanggan
tempatan dan S$60,000 dari Singapura," kata Supt Maszely Minhad yang
mengetuai operasi kepada pemberita.
Maszely
berkata pihaknya percaya kedua-dua rumah disewa sindiket itu untuk
dijadikan tempat mengendali, mengurus serta merekodkan pertaruhan yang
dihantar oleh ejen di sekitar Johor dan Singapura.
Beliau
berkata menerusi intipan selama tiga minggu, pihaknya mendapati
kegiatan judi haram itu dipercayai beroperasi setiap Selasa, Rabu, Sabtu
dan Ahad.
"Polis
sedang mengenal pasti dalang di sebalik sindiket ini, selain akan
mengambil keterangan daripada pemilik rumah bagi membantu siasatan,"
katanya.
Antara
peralatan yang dirampas termasuk 14 mesin faksimili, dua komputer riba,
enam telefon bimbit, enam mesin pengimbas, kertas pertaruhan dan alat
tulis.
Beliau
berkata ketika diserbu, ada pekerja terbabit cuba bersembunyi manakala
yang lain pula tidak mengendahkan kehadiran polis yang melakukan
serbuan, termasuk enggan membuka pintu.
Katanya, kesemua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. |
| |