| JITRA,
26 Okt (Bernama) -- Kadar indeks jenayah di Kedah menunjukkan penurunan
bagi tiga tahun kebelakangan ini, kata Ketua Polis Kedah Datuk Syed
Ismail Syed Azizan.
Beliau
berkata bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini pula, polis
kontinjen Kedah berjaya menurunkan indeks jenayah jalanan 16.40 peratus,
manakala indeks jenayah keseluruhan pula turun 15.25 peratus.
"Jenayah
paling tinggi yang dicatatkan dalam tempoh itu ialah jenayah curi
motosikal, diikuti pecah rumah dan seterusnya lain-lain kes jenayah
manakala kes jenayah yang paling tinggi dapat diselesaikan ialah jenayah
kekerasan seperti rogol dan bunuh," katanya.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri
Majls Perhimpunan Khas Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah
Kubang Pasu di sini pada Selasa.
Menurutnya
pada tahun 2008; 13,802 kes dicatatkan dan kes yang dapat diselesaikan
adalah 6,253 kes berbanding pada tahun 2007 sebanyak 13,965 kes dengan
5,944 daripadanya berjaya diselesaikan.
Syed
Ismail berkata pada tahun 2009, sebanyak 13,579 kes dilaporkan dengan
6,385 kes berjaya diselesaikan manakala bagi tempoh Januari hingga
September tahun ini, 9,098 kes direkodkan dengan kadar penyelesaian
sebanyak 4,365 kes.
"Jika
diteliti dengan rapi indeks jenayah di Kedah menunjukkan penurunan
manakala kadar penyelesaian kes pula terus menunjukkan peningkatan yang
ketara," katanya. |