SEREMBAN 6 April - Kegiatan perjudian haram
melibatkan perlawanan bola sepak secara dalam talian yang aktif di
negara ini sejak dua bulan lalu, akhirnya tumpas selepas pihak polis
menggempur markas kumpulan itu di sebuah rumah di Kampung Seri, Parit
Lukut, Port Dickson, dekat sini Ahad lalu.
Siasatan mendapati kumpulan itu yang dikesan
aktif sejak Februari lepas menguruskan pertaruhan sehingga mencecah
RM100,000 sebulan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri,
Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dalam serbuan pukul 11.25 malam
itu, tiga lelaki tempatan berusia 19 hingga 31 tahun ditahan.
Tambah beliau, ketika serbuan hasil maklumat
awam itu, kesemua mereka sibuk menjalankan urus niaga pertaruhan bola
sepak secara dalam talian.
"Berdasarkan siasatan yang kita lakukan,
kumpulan itu dipercayai membangunkan satu laman web dengan kaki-kaki
judi akan membuat pertaruhan membabitkan perlawanan di Liga Perdana
England (EPL) dan Liga Sepanyol (La Liga).
"Setiap kaki judi akan memasukkan wang
pertaruhan mereka dalam akaun kumpulan berkenaan dan bayaran wang
kemenangan juga dibayar terus ke dalam akaun milik pelanggan," katanya
pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas
sebuah komputer, modem, telefon, buku catatan dan kertas yang
mengandungi senarai nama serta jumlah taruhan kaki-kaki judi.
Hamdan memberitahu, majoriti pelanggan dari negara ini, bagaimanapun jumlah sebenarnya masih dalam siasatan.
"Kita juga akan membekukan semua akaun milik suspek yang dipercayai digunakan dalam transaksi perjudian itu," jelasnya.
Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut
Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda
RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.