IPOH, 14 Januari 2011 (Bernama) Polis menahan 20 orang wanita warga China
kerana didapati bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat
hiburan di Taman Ipoh di sini Khamis malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim
berkata polis turut menahan seorang lelaki berumur 29 tahun yang
dipercayai penjaga pusat hiburan itu dalam serbuan pada kira-kira pukul
9.40 malam itu.
Beliau berkata siasatan mendapati semua warga China itu menyalahguna
permit sebagai pelancong dan pelajar untuk bekerja di pusat-pusat
hiburan sekitar bandar raya.
"Polis turut merampas 10 keping paspot lawatan, satu paspot pekerja,
serta sembilan paspot pelajar, dan semua wanita warga China berusia
antara 20 dan 20 tahun itu ditahan reman 14 hari untuk siasatan lanjut,"
katanya kepada pemberita di sini Jumaat.
Mohd Dzuraidi berkata wanita itu akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b)
Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial
serta permit, sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak
melebihi enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya
sekali.
"Pemilik premis pula akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen
iaitu menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit,"
katanya. |