| KUALA
LUMPUR, 12 Ogos 2010 -- Polis menahan lima wanita Thailand dan 16
wanita China berumur antara 25 dan 30 tahun yang disyaki pelacur dalam
serbuan berasingan "Ops Noda" di Bandar Puteri 5 dan Seri Kembangan
dekat sini Rabu.
Ketua
Polis Daerah Serdang, Supt. Abd Razak Elias berkata dalam serbuan
pertama pada kira-kira pukul 5.30 petang ke atas sebuah premis makanan
di Bandar Puteri 5, polis memberkas lima wanita Thailand dan enam wanita
China.
"Kami
percaya premis itu juga menawarkan khidmat seks, dan pemilik premis itu
seorang lelaki Cina berumur 25 tahun turut ditahan bagi membantu
siasatan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Khamis.
Beliau
berkata dalam serbuan kedua di sebuah restoran di Seri Kembangan pada
kira-kira pukul 2 pagi ini pula selain 10 wanita China, 10 lelaki
tempatan berumur sekitar 40-an yang disyaki pelanggan turut ditahan.
Katanya
kesemua mereka ditahan reman seminggu bermula semalam dan kes disiasat
di bawah Seksyen 55B, Akta Imigresen 1959 kerana menggaji dan melindungi
warga asing bekerja tanpa permit. |