Polis Tahan Empat Lelaki Curi Komponen Cip Elektronik Bernil
IPOH, 26 Nov -- Polis menahan empat lelaki bagi membantu
siasatan berhubung kes kecurian komponen pembuat cip elektronik yang
diimport dari Taiwan dan Amerika Syarikat bernilai RM2.7 juta yang
dilaporkan hilang pada 12 Ogos lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata keempat-empat lelaki
berusia antara 30 hingga 36 tahun itu ditahan pada Ahad dan Isnin lepas
di sekitar bandar raya ini hasil maklumat daripada orang awam.
Susulan tangkapan ke atas keempat-empat lelaki berkenaan, polis
kemudian menemui semua komponen berkenaan dari sebuah kilang di kawasan
Perindustrian Ringan, Silibin, di sini dipercayai disembuyikan, katanya
pada sidang akhbarnya selepas majlis perbarisan sempena pertukaran Ketua
Polis Perak, di sini pada Jumaat.
Zulkifli akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 1 Dis ini
dan tempatnya akan dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Datuk
Zakaria Yusof.
Kehilangan komponen itu dilaporkan oleh sebuah syarikat pengangkutan di
sini ketika komponen yang dibawa dengan sebuah treler dalam perjalanan
dari Gudang Kargo KLIA di Sepang ke Ipoh, katanya.
Siasatan mendapati seorang lelaki, yang juga pemandu treler berkenaan,
telah menggunakan salinan kad pengenalan palsu semasa memohon kerja dan
bertanggungjawab membawa komponen itu ke sini.
Zulkifli berkata seorang daripada empat lelaki itu mempunyai kes
melibatkan kesalahan mencuri, menipu, pecah amanah, samun dan kesalahan
mengikut Akta Senjata api (Hukuman Berat) yang dilaporkan di negeri ini,
Selangor, dan Kuala Lumpur.
Mereka ditahan reman sejak ditahan sehingga esok, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan (pecah amanah oleh
pembawa barang) yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak
kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebat dan boleh
dikenakan denda sekiranya disabitkan kesalahan.
Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lagi suspek yang
dipercayai dapat membantu kes pembunuhan seorang peguam di sini.
Suspek berusia 35 tahun itu ditahan pada Khamis di sebuah rumah di sini
dan setakat ini tujuh suspek ditahan, katanya.
Zulkifli berkata suspek itu direman bermula Jumaat untuk siasatan
lanjut.
Pada 16 Nov lalu, peguam G. Balasunderam, 57, diserang dua lelaki
bertopeng ketika turun dari kereta di hadapan rumahnya dai Taman Desa
Rishah, Buntung di sini dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri
Bainun pada pukul 9 malam hari yang sama.
Susulan kes pembunuhan itu polis memberkas enam lelaki berusia 21
hingga 30 tahun pada Isnin lepas di sebuah hotel di Menglembu.
Katanya dengan penangkapan tujuh lelaki itu polis percaya dapat
menyelesaikan kes itu dalam waktu terdekat ini.
|