| Kuala
Lumpur, 1 Ogos - Hasrat penarik kereta untuk menjadi kaya menerusi
penjualan dadah tidak kesampaian apabila makmal dadah, yang
diusahakannya selama setahun di Wangsa Maju di sini, diserbu Jabatan
Narkotik Kuala Lumpur pada Selasa lepas. Polis menahan suspek berusia 40 tahun itu dan teman wanitanya, 28, di sebuah rumah di Wangsa Maju setelah melakukan intipan tiga hari. Ketua
Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata susulan tangkapan itu,
polis menemui makmal berserta peralatan dan bahan untuk membuat dadah
jenis methamphetamine atau syabu. "Polis
turut menemui 81 gram dadah syabu disembunyikan di dalam coli dan
seluar dalam teman wanita lelaki itu semasa pemeriksaan menyeluruh
dijalankan di lokap polis," katanya pada sidang berita di sini hari ini. Selain
itu, polis merampas peralatan makmal dan dadah termasuk heroin (232
gram), eramin 5 (28 gram), empat botol kaca 2.5 liter asid hidroklorik
cair, empat botol sodium hidroksida, sebotol cecair metanol, sebotol
cecair 'drain opener' dan seunit pam vakum. Beliau tidak menyatakan nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu dan pasangan itu direman sehingga 6 Ogos. Sumber : BERNAMA |