Lapan Individu Ditahan Dipercayai Terlibat Penipuan 'Gores D
JOHOR BAHARU, 4 Jun (Bernama) --
Polis menumpaskan sindiket penipuan 'gores dan menang' yang memperdaya
mangsa kononnya menang hadiah kereta mewah dan barangan elektronik,
selepas menahan lapan individu di bandar raya ini, minggu lepas.
Ketua
Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata mereka ditahan
selepas polis menerima laporan beberapa mangsa termasuk rakyat Singapura
yang mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.
"Untuk
meyakinkan mangsa, suspek telah menunjukkan keratan akhbar mengenai
kereta mewah yang kononnya dimenangi peserta lain. Hakikatnya suspek
menyediakan kad 'gores dan menang' yang tidak akan memenangi hadiah
sedemikian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Johor di sini Selasa.
Mohd
Mokhtar berkata mangsa yang tertarik dengan hadiah itu, menyerahkan
sejumlah wang, yang kononnya sebagai cukai untuk membuka satu lagi
cabutan dalam kad 'gores dan menang' yang sama.
Bagaimanapun,
mangsa menyedari ditipu selepas mendapati barangan yang diberi tidak
berkualiti dan tidak sepadan dengan jumlah wang yang diserahkan.
Katanya
hasil siasatan mendapati resit pembayaran yang diserahkan kepada
kesemua mangsa adalah atas syarikat yang tidak berdaftar dengan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau lesen di bawah Akta Jualan Langsung.
"Kesemua
yang ditahan berumur lingkungan belasan tahun hingga 40-an. Kami
percaya mereka telah melakukan penipuan itu sejak lima bulan lepas,"
katanya.
-- BERNAMA
|