Ipoh, 18 April - Seorang lelaki yang menyamar sebagai anak saudara Timbalan Ketua Polis Selangor diberkas selepas memalsukan surat tawaran kemasukan kerja sebagai polis.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak Supt Maszely Minhad
berkata suspek ditahan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan Kuala
Lumpur pada 9 April lepas kira-kira pukul 11.30 pagi oleh sepasukan JSJK Perak.
Katanya
suspek menipu seorang wanita berusia 18 tahun dengan menyerahkan surat
tawaran kononnya dia ditawarkan jawatan konstabel wanita.
"Pada
8 Jan kira-kira pukul 2 petang, mangsa ketika di rumahnya di Taman
Lawan Kuda Baharu, Gopeng didatangi suspek yang mendakwa boleh
membantunya mendapatkan kerja polis.
"Suspek
yang sedang dalam usaha mengahwini kakak mangsa kemudiannya menolong
wanita itu mengisi borang permohonan polis secara manual," katanya dalam
sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Maszely
berkata suspek kemudian menyerahkan salinan permohonan kepada mangsa
tetapi borang permohonan yang asal dikoyak dan dibuang.
Beliau
berkata selepas dua minggu suspek membawa surat tawaran kepada mangsa
dan menyatakan bahawa dia layak serta perlu menjalani pemeriksaan
kesihatan di hospital kerajaan.
"Suspek
telah membawa mangsa dan ibunya pergi ke Pusat Latihan Polis Zon
Selatan di Muar, Johor dengan menaiki kereta suspek dan apabila tiba di
sana suspek memaklumkan bahawa mangsa gagal dalam ujian kesihatan dan
perlu mengambil ujian sekali lagi.
"Suspek
kemudiannya membawa mangsa menjalani ujian kesihatan di Klinik
Kesihatan Maharani Muar sebelum singgah ke rumah ibu saudara mangsa di
Ampang, Selangor," katanya.
Beliau
berkata mangsa kemudiannya menceritakan kepada ibu saudaranya mengenai
kegagalan ujian kesihatannya dan menunjukkan surat itu, bagaimanapun ibu
saudaranya berasa sangsi dengan surat tawaran itu.
Katanya
ibu saudaranya seterusnya membawa pengadu berjumpa Timbalan Ketua Polis
Selangor Datuk A. Thaiveegan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor
dan menunjukkan surat itu.
"Mangsa
membuat laporan polis setelah diberitahu bahawa surat tersebut adalah
palsu dan bukan daripada Polis Diraja Malaysia," katanya.
Beliau
berkata dokumen yang dipalsukan ialah 'Borang Permohonan Untuk Jawatan
Dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia', 'Surat Tawaran Kemasukan Latihan
Polis Wanita' dan 'Surat Jawapan Pemeriksaan Perubatan'.
Dalam pada itu, Maszely yang juga jurucakap media pilihan raya umum ke-13 kontinjen Perak berkata sehingga hari ini sebanyak 100 laporan polis diterima mengenai kesalahan pilihan raya.
"Sehingga
pukul 12 malam tadi, sebanyak lapan laporan polis telah diterima dan
satu kertas siasatan dibuka antaranya melibatkan kejadian mencabut
bendera, kain rentang, gambar calon dan mengeluarkan kata-kata kesat
terhadap penyokong parti lain," katanya. - BERNAMA