| George
Town, 12 Julai - Mayat seorang anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS)
ditemui terapung di dalam laut di KM 7.4 Jambatan Pulau Pinang, di sini
malam tadi. Mayat
Chiew Chin Lee, 41, ditemui pada pukul 10 malam oleh polis pasukan
Gerakan Marin yang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat selepas
menerima laporan mengenai kehilangan lelaki itu.
Jurucakap
Polis Marin Wilayah 1 Batu Uban Pulau Pinang berkata Chiew dari Balik
Pulau dilapor hilang pada pukul 9 malam dipercayai terjatuh dari
Jambatan Pulau Pinang. "Kereta Chiew dijumpai tidak jauh dari lokasi dia dilapor terjatuh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Sementara
itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Komtar Teh Lai Heng berkata mendiang
ialah anggota jawatankuasa PPS bahagian Komtar dan telah berkhidmat
dalam pertubuhan itu lebih setahun. "Kami
terkejut dengan pemergiannya secara tiba-tiba kerana Chiew adalah
seorang periang dan komited dengan tugasnya," katanya kepada pemberita. Sumber : BERNAMA |