| Kuala
Terengganu, 25 Jun - Polis hari ini menahan seorang lelaki bagi
membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun
yang diselamatkan dari sebuah rumah di Taman Perumahan Gong Badak, di
sini semalam. Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah ACP K. Manoharan berkata dalam operasi pukul
12 tengah hari di sebuah rumah awam kos rendah Gong Badak itu, polis turut menahan ibu kanak-kanak malang berkenaan. Ketika
diserbu, polis mendapati ada dua kanak-kanak dipercayai adik kepada
mangsa dera, yang masing-masing berusia lima dan dua tahun setengah
bersama pasangan berkenaan, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini. "Sebaik
menerima maklumat, kita terus melakukan serbuan dan berjaya menahan
suspek yang merupakan penagih tegar," katanya menambah dua kanak-kanak
yang ditemui bersama pasangan itu berada dalam keadaan sihat. Katanya
ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 25 tahun dan ibu
kanak-kanak itu yang berusia 28 tahun positif dadah jenis
Methamphetamin. Suspek
yang bekerja sebagai buruh kini ditahan untuk siasatan lanjut, manakala
wanita yang dipercayai isterinya serta dua kanak-kanak terbabit
dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan dan
rawatan lanjut.
"Siasatan
awal kita dapati terdapat kesan dera pada dua kanak-kanak ini dan kita
masih menunggu laporan penuh dari pihak hospital berhubung kecederaan
yang dialami dua beradik itu," katanya menambah ibu kanak-kanak terbabit
mengalami patah tangan. Terdahulu
hari ini, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh
tahun bukan sahaja dipukul dan dicucuh puntung rokok tetapi juga
dikurung dan dibiarkan kelaparan selama beberapa hari dalam kejadian di
sebuah rumah di Gong Badak. Kanak-kanak
itu berjaya diselamatkan pasukan polis pada pukul 4.30 petang semalam,
susulan laporan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) yang menerima maklumat
orang awam berhubung tangisan kanak-kanak dari rumah tersebut.
Sumber : BERNAMA |