Menu

Zahid Hamidi Perjelas Kes Kematian Dalam Tahahan

Kuala Lumpur, 26 Jun - Statistik menunjukkan hanya dua daripada 231 kes kematian dalam tahanan yang direkodkan sejak 2000 hingga Mei lalu didapati berpunca daripada kecederaan yang dilakukan polis.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata 196 kematian tahanan adalah disebabkan penyakit seperti HIV/AIDS, asma dan sakit jantung, 29 menggantung diri, dua akibat bergaduh sesama sendiri dan dua tergelincir dalam lokap.

"Bagi statistik mengikut kaum pula, 97 yang mati ialah bangsa Melayu, 49 Cina, 51 India, 25 warga asing dan sembilan bangsa lain,” katanya menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Soalan Johari menyentuh beberapa laporan kes kematian dalam lokap polis yang menjurus kepada gesaan supaya masalah itu diatasi segera.

Kes kematian seumpama itu antara lain melibatkan A. Kugan, 23, yang ditemui mati di lokap Balai Polis Taipan di Subang Jaya, Selangor pada 2009; N. Dharmendran, 32, di Kuala Lumpur pada 21 Mei 2013; dan R. Jamesh Ranesh, 40, di Pulau Pinang pada 27 Mei 2013.

Ahmad Zahid, yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh, menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius kes kematian dalam tahanan dan memberi jaminan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai penguatkuasa yang didapati terbabit.

"Setiap aduan berkaitan kecederaan atau kematian semasa dalam tahanan akan disiasat dengan tindakan sewajarnya diambil oleh KDN sama ada dari sudut tatatertib atau dicadangkan kepada pendakwa raya untuk dituduh di mahkamah,” katanya.

Ahmad Zahid menarik perhatian untuk memantapkan lagi pengurusan tahanan dan mengelakkan kes kematian, langkah-langkah seperti memasang lebih banyak kamera litar tertutup, mewujudkan lokap tahanan berpusat dan mewujudkan Mahkamah Koroner telah diambil.

Ia juga menyaksikan penubuhan sebuah jawatankuasa khas polis yang dipengerusikan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai penambahbaikan pengurusan lokap dan tahanan polis.
 
Sumber : BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS