| Kuala
Lumpur, 30 Dis - Seramai 35 wanita pelbagai warganegara yang dipercayai
menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan manusia diselamatkan polis dalam
operasi serentak di tiga pusat urut di Platinum Walk, Setapak di sini,
Khamis lepas.
Dalam
serbuan pukul 8 malam itu, tiga wanita warga Vietnam, 10 wanita warga
China, 12 wanita warga Thailand dan 10 wanita warga Filipina berusia
lingkungan 20 dan 30 tahun diselamatkan.
Ketua
Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat(D7) Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman, SAC Roslee Chik berkata hasil siasatan
mendapati wanita berkenaan dipercayai masuk ke negara ini menggunakan
laluan darat dan udara.
"Kesemua
wanita berkenaan memasuki negara ini sejak lima bulan lalu dengan
menggunakan visa lawatan sosial, visa pelajar serta visa pembantu
rumah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di
sini hari ini.
Beliau
berkata polis turut menahan enam suspek iaitu empat lelaki tempatan,
seorang lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga Filipina yang
dipercayai terlibat dalam kegiatan memperdagangkan wanita berkenaan.
"Modus
operandi mereka (suspek) adalah memperdaya mangsa dengan menawarkan
kerja urut tetapi akhirnya paksa mangsa lakukan pelacuran... Ada mangsa
yang dikenakan ikatan hutang antara RM5,000 hingga RM13,000, di mana
mangsa terpaksa melakukan kegiatan tidak bermoral itu untuk melangsaikan
hutang ejen".
Roslee
berkata polis turut merampas wang tunai sebanyak RM3,720 serta
paket-paket kondom, buku daftar dan pasport di lokasi berkenaan.
"Ketiga-tiga
pusat itu yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah, mengenakan
kadar bayaran RM100 hingga RM200 untuk perkhidmatan mengurut serta
seks," katanya.
Roslee berkata kesemua enam suspek kini ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.
Kesemua mangsa ditempatkan di rumah perlindungan sehingga 9 Jan, katanya.
Sumber : BERNAMA |