| Shah
Alam, 23 Okt - Seorang lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara
tiga setengah tahun atas kesalahan samun berkumpulan, hari ini dijatuhi
hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini
selepas mengaku bersalah menetak seorang bekas operator pengeluaran
menggunakan parang, tiga tahun lepas.
Hakim
Datuk Noradidah Ahmad memerintahkan G.Danesh Kumar, 21, menjalani
hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 13 Ogos 2010.
Ketika menjatuhkan hukuman Noradidah turut menasihati tertuduh supaya
mengubah sikap apabila dibebaskan dari penjara kelak.
"Awak
anak muda, jangan sia-siakan umur awak...di penjara nanti buat yang
terbaik supaya bila keluar nanti awak jadi orang berguna," katanya
kepada tertuduh yang hanya menundukkan kepalanya.
Danesh
Kumar didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Rudy Amin, 26,
dengan menetak mangsa menggunakan sebilah parang di Blok D, Pangsapuri
Valencia, Jalan Tokoh 25/28, Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, antara
9.30 malam dan 10.10 malam pada 24 Julai 2010.
Sumber : BERNAMA |