Petaling
Jaya, 12 Dis - Selepas 28 tahun diburu, dua beradik yang menganggotai
Geng Mamak diberkas polis sejurus selepas mereka dan dua lagi anggota
kumpulan itu merompak sebuah farmasi di Bandar Pinggiran Subang dekat
sini awal pagi tadi.
Dalam
kejadian pada kira-kira 5.35 pagi, kesemua lelaki berusia antara 34 dan
58 tahun itu ditahan ketika berada dalam sebuah kereta Mercedes Benz di
depan premis farmasi berkenaan.
Ketua
Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang berkata kejadian itu
disedari pemilik premis berkenaan selepas alat penggera kecemasan
berbunyi.
"Pemilik
premis itu terus menghubungi polis sejurus menerima amaran daripada
telefon bimbitnya yang berbunyi daripada penggera kecemasan itu.
"Polis
peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang ke lokasi kejadian
mendapati tiga suspek berada di dalam sebuah kereta Mercedes Benz hitam
manakala seorang lagi berdiri di depan premis," katanya kepada pemberita
dalam sidang media di Balai Polis Kampung Baru Subang malam ini.
Junaidi berkata polis kemudian bertindak mengepung kumpulan itu menyebabkan mereka tidak sempat melarikan diri.
Beliau
berkata siasatan mendapati suspek berusia 58 tahun adalah orang yang
dikehendaki polis dan aktif dalam kegiatan jenayah serta samun sejak
1977.
"Adiknya
yang berusia 50 tahun serta dua yang lain masing-masing mempunyai lebih
daripada dua rekod orang dikehendaki oleh polis Selangor, Kuala Lumpur
dan Perak," katanya.
Junaidi berkata polis turut menemui pelbagai alat yang dipercayai digunakan untuk menyamun dalam but kereta itu.
"Antaranya
sebatang pemotong besi kelapa sawit yang diubah suai, sebatang tukul
besi, sebilah gergaji, tiga bilah kapak, tiga topeng muka dan lima
batang besi kuku kambing," katanya.
Selain
itu, polis merampas 35 tin susu pelbagai jenama, 12 botol air
kesihatan, 18 botol vitamin dan tujuh keping plat pendaftaran kereta
palsu.
Junaidi
berkata pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut berhubung tangkapan
itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Sumber : BERNAMA |