Georgetown,
15 Nov - Polis dengan kerjasama Jabatan Kastam Pulau Pinang berjaya
membongkar sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa di
negeri ini setelah menahan seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai
jenis dadah sintetik lebih 58 kilogram bernilai RM11.52 juta.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim
berkata, hasil intipan bersama antara pasukan polis dan Kastam sejak
beberapa minggu lepas, polis menyerbu sebuah kedai pajak gadai di Taman
Usahaniaga, Bukit Mertajam dekat sini pada 10.40 malam Rabu lepas.
"Dalam
serbuan itu kita menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan
peniaga kedai pajak gadai dan merampas 16.325kg dadah jenis syabu yang
disorok dalam dua silinder besi dan 1.109kg ketamin," katanya dalam
sidang akhbar di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Kastam Pulau Pinang
Datuk Zulkifli Yahya.
Katanya, setelah menggeledah premis itu, polis menemui dua pucuk pistol tiruan jenis Colt's dan WE.
Beliau
berkata, polis kemudiannya membuat pemeriksaan dalam sebuah kereta
milik lelaki terbabit dan menjumpai 40 bungkusan besar dan dua bungkusan
kecil dadah jenis syabu seberat 40.898kg yang disumbat dalam lima
silinder besi.
Noor
Rashid berkata dalam serbuan di rumah lelaki itu di Jalan Bukit Kechil
iaitu berhampiran dengan kedai pajak gadainya, polis menemui lagi satu
bungkusan syabu seberat 92 gram dan wang tunai RM954,700 yang
disembunyikan dalam satu silinder, dipercayai wang hasil perniagaan
dadah.
Polis turut menyita barang kemas dan empat buah kereta milik lelaki berkenaan yang kini direman tujuh hari untuk siasatan.
Beliau
berkata siasatan awal mendapati sindiket yang dianggotai lelaki
tempatan itu telah beroperasi sejak beberapa tahun lepas dan mempunyai
hubungan dengan sindiket dadah antarabangsa.
"Berdasarkan
siasatan kita, dadah itu dibawa masuk dari China dan menjadikan
Malaysia tempat transit sebelum ia diedarkan di beberapa buah negara
jiran.
"Sama
ada lelaki yang ditahan itu merupakan dalang sindiket itu atau tidak, ia
masih dalam siasatan tetapi kita akan jejak semua anggotanya
berdasarkan maklumat yang polis ada," katanya. Sumber : BERNAMA |