| Lahad
Datu, 6 Feb - Terdapat satu lagi cubaan kumpulan tertentu untuk
menceroboh perairan pantai timur Sabah bagi melakukan jenayah pada
penghujung Januari lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar.
Bagaimanapun, katanya, cubaan itu berjaya ditumpaskan pasukan keselamatan negara yang mengawal perairan pantai timur Sabah.
Tanpa
mengulas lanjut, beliau berkata pasukan keselamatan tidak akan sesekali
memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang cuba menceroboh negara ini,
sebaliknya tetap mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat
terutamanya di kawasan pantai timur Sabah.
Khalid ditemui pemberita selepas meninjau pos keselamatan di Pulau Adal dekat sini hari ini.
Turut
hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dan Ketua Pengarah
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad
Mentek.
Pada Disember lepas pasukan keselamatan berjaya mematahkan cubaan pihak tertentu untuk menceroboh ke negeri ini.
Mengenai
lawatan itu, Khalid berkata pihaknya bercadang untuk menambah beberapa
lagi pos kawalan gabungan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone)
bagi memantapkan lagi kawalan keselamatan di sekitar kawasan berkenaan.
"Kita
telah melihat beberapa kawasan yang strategik dan kawasan itu perlu
mempunyai pos keselamatan gabungan. Sasaran kita ialah ingin mewujudkan
lebih 40 pos keselamatan gabungan di sekitar kawasan Esszone," katanya.
Dalam
pada itu, Khalid berkata pihaknya berpuas hati dengan kesiapsiagaan
anggota keselamatan yang bertanggungjawab memastikan keselamatan di
kawasan Esszone itu terjamin.
"Saya
melihat semua anggota keselamatan yang bertugas di pos keselamatan
gabungan itu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan
ancaman," katanya.
Terdahulu,
sebelum Khalid melawat beberapa.pos keselamatan gabungan di kawasan
Esszone termasuk di Pulau Mataking dan Pom Pom, beliau sempat melawat
pejabat baharu Esscom yang terletak di bandar Lahad Datu.
Sumber : BERNAMA |