| Johor
Bahru, 5 Feb - Polis Marin Wilayah Dua menahan 10 orang Pendatang Asing
Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia di Kota Tinggi dekat sini semalam
ketika cuba keluar dari negara ini secara haram.
Komandernya
ACP Zainul Abidin Hassan berkata tujuh lelaki dan tiga wanita itu yang
berumur dalam lingkungan 19 hingga 49 tahun ditahan kira-kira 8 malam
ketika cuba keluar melalui 'laluan tikus' di pantai berhampiran Kompleks
Sukan Bandar Penawar, Kota Tinggi.
Siasatan mendapati kesemua PATI itu hendak pulang ke Indonesia menggunakan bot pancung secara tidak sah.
Mereka
melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 dan
ditahan di Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi untuk tindakan
lanjut, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Antara
kesalahan mereka ialah masuk ke Malaysia melalui laluan tidak
diwartakan, tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa
atau pasport tamat tempoh.
Zainul
Abidin berkata bagi tempoh Januari lepas hingga semalam, sebanyak 158
warga asing ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua mengikut Akta Anti
Pemerdagangan Orang & Anti Penyeludupan Migran (ATIP) 2007 dan Akta
Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.
Selain
itu, dua lelaki yang menjadi tekong turut ditahan. Beliau juga meminta
orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan yang menyalahi
undang-undang khususnya di kawasan persisiran pantai dengan menghubungi
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di talian 07–237 2222 atau
07–237 6122.
Sumber : BERNAMA |