| Kota
Kinabalu, 11 Mac - Polis Sabah menyelesaikan beberapa kes curi
kenderaan dan pecah rumah berikutan penahanan 29 individu termasuk dua
wanita dari empat kumpulan berlainan bagi tempoh dua bulan Ops Lejang
dan Ops Pintu, sejak awal Januari lalu. Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata suspek berusia antara 16 dan 53
tahun itu termasuk sembilan positif dadah ditahan di sekitar Kota
Kinabalu dari 8 Jan hingga 3 Mac lepas. "Bagi
kes curi kenderaan yang melibatkan kumpulan Wei Chai, polis menangkap
sebanyak 12 orang suspek yang berumur antara 22 hingga 53 tahun
melibatkan jumlah rampasan sebanyak RM319,000," katanya dalam sidang
akhbar di Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu, Karamunsing di sini, hari
ini. Hamza berkata sembilan suspek lelaki dari kumpulan Wei Chai itu didapati positif dadah dan telah dituduh di mahkamah. Beliau
berkata 11 suspek dari Geng Kampung Sinulihan termasuk sembilan warga
Indonesia dan seorang wanita berumur antara 19 tahun hingga 48 tahun
ditahan atas kesalahan mencuri motosikal melibatkan rampasan kira-kira
RM45,000. Katanya,
polis juga menangkap dua suspek dari Geng Ah Kit yang berumur 18 tahun
termasuk seorang wanita terlibat dalam kes samun dan pecah rumah pada
awal Mac lalu di sebuah apartment di sini. Menurutnya,
polis menangkap empat lelaki dari Geng Ading yang berumur antara 16
hingga 26 tahun terlibat dalam kes pecah rumah dan samun pada Februari
lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sembulan Lama, di sini. Beliau
berkata rentetan itu, polis menemui sebahagian barangan yang dicuri
termasuk beberapa buah kereta Perodua dan Proton serta motosikal
pelbagai jenama Yamaha, Honda dan Suzuki. Menurutnya, barangan yang dipercayai hasil curi yang dirampas itu bernilai kira-kira RM434,000. Beliau
berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen
395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun dan pecah rumah serta Seksyen
15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Sumber : BERNAMA |