| Melaka,
4 Mac - Polis menahan 35 wanita warga asing termasuk seorang remaja
berusia 13 tahun dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di
sebuah pusat hiburan di Jalan Banda Hilir di sini awal hari ini. Ketika
serbuan lebih dua jam bermula 12.30 pagi tadi, kesemua mereka yang
terdiri daripada 32 wanita warga Vietnam dan tiga wanita warga Indonesia
sedang leka melayan pelanggan di premis tersebut. Ketua
Unit Pencegahan Maksiat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ASP Shahrulnizam
Jaafar berkata hasil siasatan mendapati 34 wanita terbabit menyalahguna
pas lawatan sosial manakala remaja warga Vietnam itu dipercayai menjadi
mangsa kegiatan pemerdagangan manusia. "Kesemua
wanita tersebut dipercayai memasuki negara ini menerusi sindiket
pelacuran sejak awal tahun lepas menggunakan laluan darat dan udara,"
katanya kepada Bernama. Beliau
berkata hasil siasatan mendapati pelanggan membayar RM150 sejam untuk
aktiviti seks manakala RM500 hingga RM600 semalam untuk khidmat sama. Katanya siasatan turut mendapati pusat hiburan setingkat berkenaan telah beroperasi lebih lima bulan tanpa lesen. Shahrulnizam
berkata polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 25
hingga 40 tahun dipercayai pengurus, juruwang dan DJ pusat hiburan
terbabit. Beliau berkata 'ibu ayam' warga Vietnam berusia lingkungan 30-an bagaimanapun berjaya meloloskan diri dalam serbuan terbabit. Katanya kesemua yang ditahan direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. Sumber : BERNAMA |