Bukit
Mertajam, 16 Feb - Polis Pulau Pinang merampas sebanyak 44 unit mesin
perjudian dan karaoke bernilai RM25,000 dalam operasi bersepadu di
sekitar negeri itu, awal hari ini.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Mazlan Kesah berkata operasi
bersepadu selama lima jam bermula pukul 10 malam itu melibatkan
pemeriksaan di 50 buah premis judi dan hiburan.
"Hasil
pemeriksaan mendapati lapan premis melakukan pelbagai kesalahan
antaranya menjalankan aktiviti perjudian, pusat hiburan tanpa lesen dan
tiada lesen perniagaan.
"Kita
merampas mesin perjudian, set karaoke dan komputer bernilai RM25,000 di
lapan premis berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata operasi itu disertai 67 pegawai dan anggota dari Bahagian Anti
Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Pulau Pinang,
Bahagian Penguat Kuasa, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan
Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Mazlan
berkata dalam operasi itu pihaknya turut menahan 18 orang termasuk tiga
wanita berusia antara 21 dan 38 tahun, kebanyakan mereka adalah penjaga
premis.
"Hasil
operasi itu kita mendapati ada premis yang menjalankan aktiviti
perjudian haram dan polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,156
dipercayai wang pertaruhan oleh pelanggan yang mahu mendapatkan wang
secara mudah.
"Pihak
Berkuasa Tempatan turut mengenakan tindakan saman terhadap beberapa
premis hiburan kerana tidak mempunyai lesen sah serta pusat snooker
kerana beroperasi melebihi masa ditetapkan," katanya.
Katanya operasi bersepadu itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha membanteras aktiviti perjudian.
Sumber : BERNAMA